JOHOR BAHRU – Semua pihak sekolah di negeri ini perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing berikutan risiko jerebu dan pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan keadaan semasa dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, ini bagi memastikan kesihatan, kebajikan serta keselamatan murid dan seluruh warga sekolah tidak terjejas.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah, termasuk aktiviti sukan, kokurikulum dan program atau keramaian di luar hendaklah ditangguhkan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah di kawasan atau daerah yang terlibat hendaklah ditutup mengikut ketetapan serta panduan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam tempoh ini, aspek kesihatan dan keselamatan murid harus dan sentiasa diberikan keutamaan.
Pihak sekolah katanya, perlu memantau perkembangan jerebu dan bacaan IPU setempat dari semasa ke semasa serta memastikan murid tidak terdedah kepada aktiviti luar sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
Warga sekolah juga katanya, disarankan untuk menggunakan pelitup muka yang bersesuaian, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta mengambil langkah penjagaan kesihatan yang sewajarnya.
Murid yang menunjukkan tanda-tanda tidak sihat perlu segera dirujuk kepada ibu bapa atau penjaga untuk tindakan lanjut, katanya.
“Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai kebimbangan terhadap keadaan kesihatan anak-anak boleh mengambil pertimbangan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” ujarnya.
Bagi pentaksiran dan peperiksaan awam, beliau berkata, pelaksanaannya perlu diteruskan berdasarkan arahan, ketetapan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pendidikan.
Beliau menyeru kerjasama semua pihak, khususnya pentadbir sekolah, guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid untuk bersama-sama memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan warga sekolah sentiasa terpelihara.
“Segala aktiviti sukan, kokurikulum dan program luar hendaklah disesuaikan dengan keadaan cuaca serta bacaan IPU semasa dan tidak diteruskan sekiranya keadaan didapati tidak selamat atau boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.
Tambahnya orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat dan bacaan IPU terkini melalui Air Pollutant Index Management System (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui laman sesawang rasmi: https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main
Kerajaan Negeri Johor akan terus memberi perhatian terhadap perkembangan situasi ini dan mengutamakan aspek keselamatan serta kesejahteraan warga pendidikan negeri.
Ketika ini berlaku beberapa pembakaran terbuka di negeri ini dan terbesar serta masih berlaku adalah di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang yang melibatkan 51.4 hektar kawasan lalang terbakar sejak semalam.
Sehingga pagi ini seluas 25 hektar atau separuh daripada kawasan terbabit sudah berjaya dikawal dan dipadamkan, operasi masih diteruskan sehingga kini.- MalaysiaGazette
















