Lim Hui Ying.

GEORGE TOWNJiran digesa segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku keganasan rumah tangga di kediaman berdekatan, tanpa menganggapnya sebagai masalah peribadi keluarga terbabit.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying berkata, laporan boleh dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan dan keselamatan individu yang dipercayai menjadi mangsa dipastikan.

Beliau berkata, kejadian seperti jeritan, bunyi dipukul atau pergaduhan yang mencurigakan tidak sepatutnya dianggap sebagai urusan peribadi sesebuah keluarga.

“Kalau terdengar jiran menjerit atau dipukul, buat laporan untuk tindakan walaupun kita sendiri enggan masuk campur dalam hal rumah tangga mereka.

“Ini untuk membantu mereka kerana terdapat stigma dalam kalangan mangsa kerana kebiasaannya mereka malu atau takut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Pulau Pinang di sini.

Hui Ying berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga masih belum memuaskan dan usaha advokasi akan terus dipergiatkan, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 4,014 kes dilaporkan di seluruh negara sehingga Jun tahun ini, berbanding 3,768 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Di Pulau Pinang pula, 461 kes disiasat pada 2024, 349 kes pada tahun lalu dan 157 kes direkodkan setakat Jun tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, KPWKM turut memberi penekanan bahawa keganasan rumah tangga bukan sekadar melibatkan penderaan fizikal, malah boleh berlaku dalam bentuk kawalan kewangan dan digital.

“Ada mangsa yang dikawal dari segi kewangan selain ada yang dikawal, diugut atau dipantau melalui teknologi.

“Bentuk keganasan ini mungkin tidak meninggalkan kesan fizikal yang jelas, tetapi kesannya boleh mendalam dan berpanjangan khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Mangsa atau orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kejadian keganasan rumah tangga kepada KPWKM menerusi Talian Kasih 15999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here