Penguat Kuasa KPDN Johor melakukan tinjauan dan pemeriksaan harga selepas pelancaran Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Negeri Johor diadakan di Pasar Awam Mersing hari ini.

MERSING – Program Pasar PATUH 2026 di negeri ini akan melibatkan lapan lokasi dalam usaha memperkukuh agenda pematuhan peniaga dan perlindungan pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pelancaran Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Negeri Johor diadakan di Pasar Awam Mersing di sini hari ini.

KPDN memaklumkan, selepas ini akan diadakan di Pasar Awam Taman Perling di Johor Bahru; Pasar Awam Kluang, Pasar Maharani, Muar; Pasar Awam Batu Pahat, Pasar Kota Jaya, Kota Tinggi; Pasar Awam Pontian dan Pasar Awam Labis, Segamat.

“Program ini merupakan pendekatan advokasi dan kerjasama bersepadu bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga terhadap perundangan di bawah seliaan KPDN, di samping mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil, beretika dan mesra pengguna.

“Pendekatan ini bukan sekadar memastikan peniaga mematuhi peraturan, malah menggalakkan pematuhan dijadikan sebahagian daripada budaya perniagaan,” jelas kenyataan tersebut.

Konsep PATUH berteraskan lima prinsip utama yang menjadi panduan kepada peniaga dalam menjalankan urus niaga secara bertanggungjawab iaitu; Penandaan harga yang jelas; Alat timbang yang telah ditentusahkan; Transaksi yang jelas dan telus; Urus niaga yang jujur; dan Harga yang berpatutan serta tiada unsur pencatutan.

Program berkenaan
adalah usaha memperkukuh agenda pematuhan peniaga dan perlindungan pengguna.

Sebanyak 406 orang peniaga terlibat dalam Program Pasar PATUH di lapan lokasi pasar awam di Johor, termasuk Pasar Awam Mersing sebagai lokasi pelancaran.

Para peniaga turut dibekalkan dengan Tanda Harga PATUH bagi menggalakkan pemameran tanda harga yang jelas dan mudah dilihat oleh pengguna, manakala Kaunter Semak Timbang Layan Diri disediakan di setiap lokasi Pasar PATUH bagi membolehkan pengguna menyemak ketepatan berat barangan yang dibeli.

Pelaksanaan Program Pasar PATUH turut diperkukuh melalui kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd dan De Metrology Sdn Bhd sebagai agensi.

Pihak berkenaan merupakan rakan strategik dalam memastikan aspek pematuhan di pasar awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh mengikut bidang kuasa dan kepakaran masing-masing.

“Kerjasama ini memperlihatkan komitmen bersama dalam membentuk ekosistem perdagangan yang lebih teratur, telus dan mesra pengguna di samping memberi ruang kepada peniaga untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan pematuhan dalam menjalankan perniagaan,” tambahnya.

KPDN akan terus memperkukuh advokasi, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan hak serta kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.

Sehubungan itu, pengguna digalakkan untuk terus memainkan peranan dengan menyalurkan aduan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan melalui saluran rasmi KPDN seperti yang berikut:i. Whatsapp 019 – 848 8000 ;ii. Portal e – Aduan KPDN iaitu [email protected] ; iii. Call Centre 1–800–886-800; daniv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here