KUANTAN – Kerabat Diraja Pahang diselubungi suasana hiba susulan kemangkatan Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Dato’ Sri Setia Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, malam tadi.
Almarhumah yang juga merupakan kekanda Sultan Pahang mangkat pada jam 9.15 malam di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, jenazah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang di Pekan, hari ini untuk disemadikan dengan penuh penghormatan dan istiadat.
“Kemangkatan Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Pahang, khususnya Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta seluruh keluarga dan kerabat Diraja Pahang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Kesultanan Pahang menzahirkan doa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa dan kesalahan serta menerima segala amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan sepanjang hayat baginda.
“Semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhumah dalam kalangan para solihin serta di syurga-Nya dan sama-sama kita doakan roh Almarhumah akan bersama orang-orang yang solehah,” katanya. – MalaysiaGazette
















