KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri memberi kelulusan secara prinsip bagi pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan (BSE), yang dicadang menjadi laluan penghubung berkapasiti tinggi di Greater Kuala Lumpur.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek infrastruktur strategik itu dicadangkan menerusi pendekatan pembiayaan sektor swasta dan tidak membabitkan komitmen kewangan secara langsung daripada kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, susulan kelulusan berkenaan, KKR bersama agensi berkaitan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan meneruskan rundingan serta penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.
“Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, BSE dicadangkan mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) yang lebih luas.
KKR berkata, pembangunan lebuh raya bertingkat itu berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna, sekali gus melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung.
“Kesalinghubungan yang lebih baik turut dijangka meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik dan melancarkan pergerakan barangan.
“Dari sudut kesejahteraan rakyat, BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain secara terpilih bagi melengkapkan rangkaian jalan raya dan menangani kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Jelasnya, cadangan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impak terhadap kelancaran trafik.
KKR berkata, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan lebuh raya baharu, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
“Kementerian akan terus memastikan proses seterusnya dilaksanakan secara teliti, telus dan berteraskan kepentingan rakyat serta negara, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, bersepadu dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette
















