J Arul Kumar

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) menjelaskan peruntukan yang disalurkan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) telah digunakan untuk kesejahteraan rakyat, bukan bagi tujuan politik.

ADUN Nilai J. Arul Kumar berkata kesemua baki peruntukan yang tidak dibelanjakan turut dipulangkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum 10 Julai lepas, berserta laporan kewangan bagi setiap DUN.

Pengerusi DAP negeri itu berkata peruntukan yang dibelanjakan telah disalurkan kepada pihak yang  memerlukan antaranya badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), sekolah, rumah ibadat serta individu memerlukan bantuan kewangan.

“Kita tidak menggunakannya untuk kegunaan peribadi atau kempen politik.

“Laporan kewangan bersama-sama baki dana yang tidak digunakan telah diserahkan sepenuhnya sebelum 10 Julai lepas, mengikut garis panduan dan surat arahan rasmi daripada Pejabat Menteri Besar,” katanya kepada pemberita di pejabat Khidmat DUN Parlimen Seremban di sini hari ini.

Turut hadir ADUN Bukit Kepayang Nicole Tan, Choo Ken Hwa (Lukut), Chew Seh Yong (Lobak), Datuk Dr G. Rajasekaran (Sri Tanjung), Siau Meow Kong (Rahang) dan Datuk Yew Boon Lye (Chuah).

Arul Kumar berkata kelulusan penyaluran peruntukan tersebut dibuat secara suku tahunan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), bukannya secara bulanan, dan tiada sebarang penetapan atau syarat dalam surat Pejabat Menteri Besar yang menghadkan perbelanjaan bulanan.

“Surat penetapan diterima hanya mengarahkan perbelanjaan dibuat sehingga 30 Jun dan baki yang tidak dibelanjakan dipulangkan sebelum 10 Julai, dan semua 17 ADUN dan dua penyelaras telah mematuhinya.

“Apabila dana itu telah disalurkan kepada rakyat dan organisasi yang memerlukan mengikut saluran sah sebelum pembubaran, adalah amat sukar untuk minta kembali duit tersebut daripada penerima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Negeri Sembilan dapat menyemak semula laporan kewangan yang dikemukakan serta mempertimbangkan semula keputusan tersebut secara teliti demi keadilan semua pihak.

Arul Kumar menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Menteri Besar Negeri Sembilan bagi memberikan penjelasan, di samping membolehkan pihak kerajaan negeri meneliti dan menyemak semula laporan kewangan yang telah dikemukakan dengan lebih terperinci.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dilaporkan berkata 17 ADUN dan dua penyelaras DUN daripada PH penggal lepas diminta memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi Julai hingga September dalam tempoh sebulan, susulan pembubaran DUN pada 5 Jun.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ADUN dan penyelaras DUN tersebut, iaitu Paroi dan Labu, tidak lagi mempunyai fungsi selepas DUN dibubarkan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here