BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mencari jalan bagi memastikan cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam dapat dilaksanakan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, cadangan berkenaan adalah antara 12 resolusi yang dibawa perwakilan pelajar menerusi Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Kebangsaan yang selesai hari ini.
Katanya, semua resolusi berkenaan diterima sepenuhnya dan KPM akan menambah baik cadangan terbabit bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya terima sepenuhnya, anak-anak. Jadi, insya-Allah, kita akan tambah baik resolusi itu dan kita sedang mencari jalan bagaimana kita boleh memastikan 12 resolusi itu akan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Antara perkara penting yang turut diketengahkan dalam kongres berkenaan adalah peranan pelajar Tingkatan Enam dalam konteks pembinaan bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, pensyarah IPG memainkan peranan penting sebagai rakan sinergi KPM dalam usaha memartabatkan mutu pendidikan negara.
Katanya, pengisian guru di Malaysia ketika ini mencapai 98 peratus hasil kerja keras IPG dan Bahagian Pembangunan Guru.
Sementara itu, Fadhlina berkata, buat pertama kali, pelajar opsyen Bahasa Melayu di IPG dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilahirkan sebagai Guru Bahasa Melayu dan Munsyi Siswa.
“Langkah itu bagi memastikan mereka bukan sahaja menjadi guru Bahasa Melayu, malah boleh menjadi narasumber dan sumber rujukan masyarakat khususnya berkaitan bahasa Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
















