KUALA LUMPUR – Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping mengumumkan dirinya telah memeluk agama Islam pada bulan lalu.
Dia berkongsi perkara itu menerusi media sosial miliknya dengan meluahkan rasa syukur selain menyifatkan keputusan itu sebagai antara detik paling istimewa dalam hidupnya.
“Tidak pernah berasa lebih bangga dengan keputusan yang saya buat pada Julai lalu. Benar-benar antara detik paling istimewa. Alhamdulillah,” tulisnya di Instagram.
Kimberly, 24, yang sinonim dengan acara tiga meter papan anjal dan platform 10 meter itu mencuri perhatian ketika berusia 14 tahun apabila menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia pada 2016.
Sepanjang kariernya, dia turut melakar pencapaian membanggakan sehingga ke peringkat antarabangsa antaranya memenangi pingat emas Sukan SEA dan Terbuka Malaysia pada 2023 serta meraih pingat perak dan gangsa pada edisi Sukan SEA 2021 serta 2017.
Kimberly mengumumkan persaraan daripada sukan terjun pada 2024 selepas hampir 15 tahun menyertai sukan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Kimberly dilaporkan bakal bergelar isteri kepada bekas penyerang skuad Bawah 23 (B23) negara, Danial Asri yang kini beraksi bersama kelab DPMM. – MalaysiaGazette