MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengajak umat Islam menghargai nikmat kemerdekaan dengan memelihara keamanan yang dikecapi selama ini.
Tegas beliau, erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan malah menanam iltizam untuk terus mempertahankan nikmat keamanan yang diwarisi sejak 69 tahun lalu.
“Kemerdekaan bukan hanya tentang bebasnya sebuah tanah air daripada penjajahan.
“Kemerdekaan menuntut kita menjadi manusia yang tahu menghargai nikmat, memelihara keamanan dan menggunakan kebebasan yang ada untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Melaka Berselawat Sempena Merdeka di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.
Menurut Ab Rauf, program Melaka Berselawat Sempena Merdeka itu adalah manifestasi kepada rasa kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Bagi mengisi kemerdekaan itu jelasnya, kerajaan negeri tidak henti-henti melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyatnya.
Ia tambahnya, termasuk melaksanakan pelbagai program keagamaan sebagai pengisian terhadap kemerdekaan yang dinikmati.
“Saban tahun kerajaan negeri terus memperluas pelbagai program dan pengisian keagamaan, sebagai usaha menyuburkan penghayatan Islam dalam kehidupan, memperkukuh syiar agama dan memastikan nilai-nilai murni terus hidup dalam masyarakat kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















