Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui hadir pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

SERDANG – Rundingan kerjasama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan dimulakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, perkara berkenaan telah diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai kerjasama menghadapi PRN berkenaan.

“Kita telah menyerahkan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya fikir beliau akan adakan perbincangan rasmi setelah Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Laman Usahawan Desa di Pameran MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau sebelum ini sudah mengadakan perbincangan dengan seluruh Biro Politik UMNO Melaka berhubung persiapan menghadapi PRN negeri itu.

Katanya, hasil kajian dan data yang diperoleh UMNO Melaka turut dibentangkan kepada kepimpinan parti untuk diteliti.

“Kita tidak ada masalah daripada kajian data yang kita perolehi dan sebagaimana yang saya sebutkan itu mungkin diadakan perundingan sekarang, mungkin perbincangan tidak rasmi telah ada,” katanya.

Jelasnya, BN ketika ini menyerahkan kepada kepimpinan UMNO Melaka, khususnya Ab Rauf untuk menggerakkan perbincangan berhubung bentuk kerjasama yang akan diambil bagi menghadapi PRN Melaka.

Semalam, Ab Rauf berkata, Melaka sudah bersedia untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

Menurutnya, antara agenda semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu adalah persiapan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk perkembangan politik semasa dan momentum denyut nadi rakyat di lapangan.

Kedudukan BN dalam mempertahankan kerusi DUN di Melaka menjadi perhatian apabila parti itu mempunyai beberapa pilihan, termasuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), mempertimbangkan rundingan dengan PN ataupun bergerak solo.

Pada PRN Melaka 2021, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here