KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 yang masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini merupakan undang-undang era penjajahan yang wajar dimansuhkan seperti saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, akta itu menerima kritikan yang ketara sebagai peninggalan undang-undang zaman penjajahan yang memberi kesan negatif terhadap kebebasan bersuara yang sah serta pernah digunakan sebagai alat untuk pendakwaan bermotifkan politik.
Menurutnya, beliau sejak sekian lama berpendirian Akta Hasutan merupakan undang-undang lapuk, ketinggalan zaman dan bersifat zalim, sekali gus wajar dimansuhkan.
Katanya, ia sebagaimana yang telah dilakukan oleh negara lain termasuk United Kingdom sendiri yang memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2009, dan Singapura yang memansuhkan undang-undang tersebut pada tahun 2021.
“Satu lagi kebimbangan serius berhubung Akta Hasutan ialah niat seseorang tidak menjadi faktor dalam menentukan sesuatu kesalahan di bawah akta tersebut.
“Undang-undang ini bersifat luar biasa kerana sesuatu kenyataan atau kritikan boleh dianggap mempunyai kecenderungan menghasut dan seterusnya menjadi suatu kesalahan, tanpa mengambil kira niat orang yang membuat kenyataan tersebu.
“Oleh itu, seseorang mungkin benar-benar percaya bahawa terdapat asas bagi kata-kata yang diucapkannya, namun sekiranya kata-kata tersebut mempunyai kecenderungan menghasut seperti yang ditakrifkan di bawah Akta berkenaan, kepercayaannya itu tidak lagi menjadi pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri pada Program Merdeka Sahabat Madani 2026 di UiTM Permatang Pauh berkata, undang-undang era penjajahan wajar dimansuhkan “supaya negara dapat memberikan erti sebenar kepada kemerdekaan”.
Tambah Ramkarpa, hampir tujuh dekad selepas kemerdekaan, Kerajaan Madani kini mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih baik dengan memansuhkan Akta Hasutan sepenuhnya.
Ujarnya, akta tersebut tidak lagi mempunyai tempat dalam negara ini hari ini.
“Justeru, saya menggesa kerajaan untuk berbuat demikian selaras dengan komitmen lama Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut, susulan kenyataan Anwar juga, mungkin sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh terhadap semua undang-undang era penjajahan atau pramerdeka dijalankan, dengan tujuan untuk memansuhkan atau meminda undang-undang berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi kerajaan.
“Usaha sedemikian sewajarnya mendapat sokongan bipartisan kerana ia jelas demi kepentingan terbaik negara dan, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, bagi memberikan erti sebenar kepada kemerdekaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















