SERDANG – Malaysia perlu melihat semula potensi mengintegrasikan ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi selepas mendapati kaedah berkenaan sudah diterokai di China.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika melakukan lawatan ke China baru-baru ini melihat sendiri kaedah sawah padi digunakan untuk menternak udang galah, sekali gus menghasilkan dua sumber hasil daripada kawasan sama.
“Dalam sawah itu ada udang galah. Dia dapat dua hasil. Satu hasil padi, satu hasil udang. Benih udang galah yang digunakan di China dibawa dari Malaysia,” katanya ketika berucap meluncurkan Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Menurut Mohamad, penternakan udang galah dalam sawah dilihat kurang sesuai di China kerana keadaan air yang sejuk terutama selepas November hingga Mac.
“Udang galah ini sesuai di Malaysia sepanjang tahun kerana cuacanya sesuai untuk udang itu,” katanya.
Mohamad berkata, keadaan itu menunjukkan Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan semula jadi yang boleh dimanfaatkan namun potensi tersebut masih belum diterokai secara besar-besaran.
“Begitulah kita lihat negara seperti China mencuba mencari jalan untuk menternak udang. Sedangkan kita tempat yang sesuai, kita belum terokai secara hebat dalam bidang itu,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya akan melihat kemungkinan mengembangkan kaedah berkenaan dengan memilih pegawai untuk meneroka teknologi dan pendekatan yang dilihat berpotensi dilaksanakan di Malaysia.
“Kawasan sawah yang mempunyai sistem pengairan terjamin antara lokasi yang berpotensi untuk mengembangkan konsep tersebut.
“Insya-Allah, semua yang kami lihat itu boleh diterokai terus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















