BANDAR BARU BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menuju kepada perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussin berkata, usaha untuk meletakkan TH di bawah rangka kawal selia lebih kukuh sedang dilaksanakan melalui proses perbincangan dengan badan berkaitan.
Katanya, perkara itu turut mengambil masa kerana ia membabitkan penglibatan badan pengawal selia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) serta pihak berkaitan.
“Pada asasnya, percubaan terakhir ialah untuk mendapatkan TH diregulasi yang saya amat ingin sekarang, bukan sahaja sebagai pegawai tetapi juga sebagai anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyarankan itu.
“Ia mengambil masa kerana memerlukan kerjasama dengan semua badan yang diregulasi yang kami nilai sama ada BNM atau (badan pengawal selia) lain,” katanya kepada pemberita pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.
Beliau berkata, aspek teknikal berkaitan skop dan pelaksanaan kawal selia perlu diperincikan supaya TH kekal sebagai institusi yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan haji, selain menjalankan aktiviti pelaburan.
“Kehadiran pengawal selia kewangan yang sesuai penting bagi memastikan tahap keselamatan serta tadbir urus tertinggi dapat dikekalkan,” katannya.
Katanya lagi, proses pindaan atau penggubalan akta juga bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan segera kerana perlu melalui beberapa peringkat kerajaan.
“Proses akta tidak mudah di negara ini. Ia perlu dibentang kepada menteri, kemudian dibawa ke Kabinet dan perlu mendapat persetujuan sebelum melalui proses seterusnya.
“Itulah proses yang saya akan lalui,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















