Suhaizan Kaiat

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Mei lalu yang membatalkan tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun berjadual adalah wajar.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, langkah tersebut tepat khususnya dilihat daripada perspektif kesihatan awam dan perlindungan generasi muda daripada ketagihan nikotin.

“Saya menyokong pendirian bahawa nikotin wajar berada dalam Senarai Racun di bawah. Akta Racun 1952, tertakluk kepada kerangka undang-undang dan pengecualian yang sewajarnya.

“Nikotin merupakan bahan yang mempunyai sifat ketagihan. Justeru, kawalan terhadap nikotin tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai isu perdagangan, percukaian atau kawalan produk, tetapi mesti dilihat sebagai isu kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Ogos lalu kerajaan menarik balik rayuan berkenaan selepas seorang Peguam Kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara mengemukakan notis pemberhentian rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Notis itu menyatakan Menteri Kesihatan dan kerajaan mahu menarik balik serta menghentikan rayuan terhadap responden, tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan kerajaan dilapor memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 15 Mei lalu, yang memutuskan tindakan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin cecair yang digunakan dalam produk vape dan rokok elektronik daripada senarai racun, adalah tidak rasional dan dibuat tanpa berunding secara sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, selepas penarikan rayuan itu, kerajaan perlu menjelaskan langkah seterusnya untuk mengawal vape dan status cukai nikotin yang telah dikenakan sebelum ini.

Jelasnya, itu adalah penting untuk mempastikan bahawa kerajaan mempunyai agenda yang jelas terhadap kesihatan rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here