KOTA TINGGI – Pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Easter di sini diminta memberikan perhatian terhadap kebajikan dan psikologi keluarga empat pelajarnya yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, langkah itu bagi juga memastikan kebajikan serta keadaan emosi rakan-rakan sekolah yang terkesan berada dalam keadaan baik dan stabil.
“Sokongan psikososial melalui Unit bimbingan dan kaunseling akan disediakan mengikut keperluan bagi membantu murid serta warga sekolah menghadapi situasi ini dengan sebaiknya.

“Pihak sekolah turut akan membantu keluarga mangsa dalam urusan kebajikan dan dokumentasi yang berkaitan, termasuk perkara-perkara berkaitan perlindungan takaful murid, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa serta meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pos kawalan di Pantai Tanjung Lompat hari ini.
Dr Muhammad Naqib menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam terhadap keluarga serta waris mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR dan memberikan bantuan kepada mangsa, termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, petugas kesihatan dan orang awam yang tampil membantu.

“Saya juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukan fakta serta punca sebenar kejadian berdasarkan hasil siasatan rasmi,” ujar beliau.
Justeru beliau meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat atau berkongsi sebarang berita palsu berhubung insiden itu bagi menghormati privasi dan perasaan keluarga mangsa.
Tambahnya, ini termasuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan sewajarnya.
“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengambil perhatian terhadap keselamatan anak-anak, khususnya ketika mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti pantai, sungai, tasik atau lokasi lain yang tidak ditetapkan untuk aktiviti rekreasi dan mandi-manda.

“Saya menzahirkan simpati dan dukacita yang mendalam kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga keluarga Allahyarham Alif Taqiuddin Kamal Hasrul dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Bagi mangsa yang masih dalam operasi mencari dan menyelamat, marilah kita bersama-sama mendoakan agar segala urusan pasukan SAR dipermudahkan dan semoga perkembangan yang baik dapat diperoleh,” katanya.
Terdahulu, portal ini melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan pukul 7.30 pagi semalam.

Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung pukul 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.
Muhammad Thaqif Rayyan ditemui hari ini manakala Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal masih hilang, semua mangsa berusia 16 tahun. – MalaysiaGazette
















