Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta berhubung cadangan projek pembunaan lebuh raya MEX II di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan isteri kekal dibicarakan selepas gagal mendapat perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada pertuduhan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan yang dikemukakan peguam Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid, 75, dan Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 49.

Hakim Suzana Hussin kemudian mengarahkan pihak pendakwaan menyenaraikan saksi untuk dipanggil memberi keterangan sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kelak.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 20 November ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Jasbeer memohon DNAA terhadap pasangan itu atas alasan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan dokumen penting berkaitan kes meskipun pertuduhan telah dikemukakan sejak setahun lalu.

Beliau berkata, anak guamnya didakwa pada September 2025 dan sebanyak tujuh prosiding sebutan kes telah dijalankan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada isu berkaitan bahan bukti telah diliputi di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah berhubung penyerahan dokumen.

“Pertuduhan tidak sepatutnya dibuat jika siasatan masih berjalan atau belum lengkap,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memaklumkan pihak pendakwaan akan menyerahkan lima lagi jilid dokumen berkaitan kes itu kerana perlu berurusan dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Dokumen itu, menurut beliau akan diserahkan sebelum perbicaraan bermula bagi memberikan masa secukupnya kepada pihak pembelaan membuat persediaan.

Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat berjumlah lebih RM458.5 juta yang diamanahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 dan 21 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berhadapan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 dan 19 September 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Sementara itu, Noor Azrina didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here