Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat, B Kumaresan ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2026

KOTA BHARU – Kerajaan digesa tidak melabel rumah ibadat Hindu sebagai “kuil haram” hanya kerana berdepan masalah status tanah atau kelulusan, sebaliknya menyelesaikan isu berkenaan menerusi proses yang adil, telus dan berhemah.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, B. Kumaresan berkata, penggunaan label sedemikian tidak disenangi masyarakat India kerana boleh mengguris perasaan sesuatu kaum.

Menurutnya, sekiranya terdapat masalah membabitkan geran, kelulusan, perancangan atau undang-undang, ia perlu ditangani melalui saluran sewajarnya dan bukan dengan memberikan label yang boleh menimbulkan ketegangan.

“Jika terdapat masalah dari segi geran, kelulusan, perancangan atau undang-undang, perkara ini perlu diselesaikan melalui proses yang adil dan berhemah, bukan dengan memberikan label yang boleh mengguris perasaan sesuatu kaum,” katanya ketika menggulung perbahasan sempena Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.

Kumaresan berkata, kerajaan juga perlu mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh dan sistematik terhadap rumah ibadat yang berdepan masalah status tanah.

Beliau pada masa sama meminta Kerajaan Persekutuan mencontohi pendekatan kerajaan Kedah dalam menyelesaikan isu berkaitan kuil.

Katanya, isu membabitkan masyarakat bukan Islam tidak seharusnya dilihat sebagai persoalan satu kaum semata-mata, sebaliknya perlu dikaitkan dengan keadilan sosial, maruah manusia serta usaha membina negara yang stabil dan inklusif.

Dalam pada itu, DHPP mahu memastikan masyarakat bukan Islam tidak tercicir daripada arus pembangunan negara termasuk dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keusahawanan, kebajikan dan penyertaan dalam pembangunan.

Kumaresan berkata, ukuran kejayaan sesuatu dasar tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah program atau peruntukan yang dibelanjakan, sebaliknya sejauh mana dasar berkenaan memberi perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah perjudian yang didakwa semakin membimbangkan susulan akses kepada aktiviti berkenaan yang semakin meluas.

Menurutnya, perjudian kini bukan lagi terhad kepada premis atau kaunter nombor ekor, malah merangkumi mesin permainan, aktiviti perjudian tertentu serta perjudian dalam talian yang boleh diakses dengan mudah menerusi telefon bimbit.

“Berjudi bukan sekadar kerugian. Ia memberi kesan besar kepada institusi keluarga, masalah hutang dan kesejahteraan masyarakat. Judi bukan hak bukan Islam. Judi adalah virus kepada masyarakat,” tambahnya.

Sehubungan itu, Kumaresan menggesa kerajaan memperkukuh usaha mengawal, mendidik dan melindungi masyarakat daripada masalah perjudian, termasuk mengambil kira perkembangan bentuk perjudian dalam talian.

Beliau berkata, DHPP yakin sekiranya Pas dan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan, suara masyarakat bukan Islam akan diberi perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here