Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) bergambar kenangan bersama peserta pada program Townhall Anak Muda Melaka di MITC, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 05 SEPTEMBER 2026.

 

MELAKA – Melaka mungkin dilihat kecil dari segi keluasan, namun negeri itu mempunyai potensi dan peluang yang luas untuk diterokai golongan muda, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, keadaan itu selari dengan ungkapan Melayu lama yang menggambarkan Melaka sebagai negeri yang kecil apabila dilipat, tetapi mampu memberikan ruang yang luas apabila dibentangkan.

“Sejarah Melaka ini, kalau diikutkan bahasa lama, kalau dilipat sebesar kuku, kalau dibentang selebar alam.

“Jadi dalam kita ini ada banyak peluang kalau kita keluar nanti untuk kita lihat dan rebut mana yang kita nak,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette
menyaksikan editor, Haslina AR Kamarudin sebagai moderator sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucapan pada program Townhall Anak Muda Melaka di MITC, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 SEPTEMBER 2026.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha membawa masuk pelaburan baharu bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan mengikut bidang dan kerjaya yang diminati anak muda.

Katanya, antara potensi baharu yang sedang dibangunkan ialah industri maritim menerusi empat lesen pelabuhan di sepanjang koridor tambak laut yang dijangka menjadi antara nadi utama ekonomi biru Melaka.

“Industri maritim ini menjana peluang pekerjaan lebih daripada 2,000 orang, mungkin 5,000 orang.

“Kawasan German Technology Park pula menjana lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan pada masa akan datang, manakala di sebelah utara Melaka kita ada 5,000 kawasan perindustrian baharu,” katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucapan pada program Townhall Anak Muda Melaka di MITC, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 05 SEPTEMBER 2026.

Ketua Menteri berkata, kedudukan strategik Melaka di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Johor turut menjadi kelebihan kepada negeri itu dalam menarik pelaburan serta mengekalkan tenaga mahir tempatan.

Beliau berkata, kelebihan itu dapat dilihat menerusi komitmen pekerja tempatan yang memilih untuk terus bekerja di negeri sendiri berbanding berhijrah ke luar Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Melaka juga sedang bergerak ke arah menjadi hab teknologi dan industri berimpak tinggi, selain bakal mempunyai hab helikopter terbesar di rantau ini tahun depan.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam akan dibangunkan sebagai hab pusat bagi mengurus dan membaiki helikopter pertama di rantau ini.

“Saya akan memikul tanggungjawab ini untuk hebatkan anda semua dan Melaka, insya-Allah.

“Selepas ini, bersama saya kita bangun majukan Melaka. Kita jadikan Melaka negeri yang menjadi pusat rujukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here