JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan gangguan seksual libatkan seorang pakar perubatan di Jabatan Anestesiologi HSA.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memberitahu, pihak pengurusan HSA sudah menubuhkan jawatankuasa khas siasatan bertujuan menyiasat laporan berkenaan yang diterima pada 28 Ogos lalu.
“Sasatan ini dijalankan susulan laporan sebuah portal yang mendedahkan dakwaan terdapat pihak tertentu meminta pengadu menarik semula laporan salah laku berkaitan gangguan seksual berkenaan.
“Siasatan itu kini sedang dilengkapkan sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut garis panduan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.
“Pihak hospital tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyembunyikan, menyekat, menekan atau menghalang mana-mana warga kerja daripada membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual,” menurut satu kenyataan hari ini.
JKNJ memaklumkan, HSA sentiasa komited memastikan keadilan terhadap semua pihak, selain memelihara ketelusan dan integriti proses siasatan setiap peringkat.
“JKNJ bersama-sama pihak hospital kekal komited untuk menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan profesional serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, intimidasi atau salah laku,” katanya.- MalaysiaGazette
















