KUALA LUMPUR – Pas perlu tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat pertemuan antara parti itu dengan pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan usaha menjatuhkan Kerajaan Malaysia.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, pendedahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas mengenai pertemuan berkenaan tidak boleh dianggap sekadar cerita politik.
Menurutnya, jika dakwaan itu benar, perkara tersebut bukan lagi berkaitan persaingan antara parti politik, sebaliknya membabitkan soal keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui siapa yang menghadiri pertemuan itu, bila dan di mana ia berlangsung, siapa yang memberi kebenaran serta apa yang dibincangkan.
“Lebih penting, adakah mana-mana wakil kerajaan asing terlibat dalam usaha mempengaruhi, menggugat kestabilan atau memudahkan penggulingan kerajaan Malaysia yang dipilih secara sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rayer turut mempersoalkan mengapa pertemuan yang didakwa berlaku itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa Malaysia ketika ia berlaku.
“Ini adalah pengkhianatan,” tegasnya.
Beliau berkata, Pas tidak boleh menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban daripada pihak lain tetapi pada masa sama berdiam diri terhadap dakwaan sebesar itu yang membabitkan sebuah kerajaan asing, khususnya AS.
Rayer turut meminta Abdul Hadi menjelaskan mengapa perkara itu tidak segera dilaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar atau polis serta agensi keselamatan negara yang berkaitan.
“Pegawai AS yang terbabit boleh sahaja ditangkap dengan segera. Mengapa Pas berdiam diri selama ini?,” soalnya.
Menurut Rayer, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi beraja berperlembagaan dan perubahan kerajaan sepatutnya berlaku melalui peti undi serta proses yang ditetapkan Perlembagaan, bukannya menerusi pertemuan sulit dengan kuasa asing.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan agensi keselamatan negara berkaitan, menyiasat dakwaan yang dibuat Abdul Hadi itu.
“Ini bukan mengenai Pas, Pakatan Harapan, Barisan Nasional atau Perikatan Nasional. Ini mengenai Malaysia.
“Tiada parti politik, walau sebesar atau sekuat mana sekalipun, boleh dibenarkan berunding dengan kerajaan asing mengenai usaha menggulingkan atau menggugat kestabilan kerajaan Malaysia yang dipilih,” katanya lagi.
Rayer menegaskan kedaulatan Malaysia mengatasi kepentingan mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya mana-mana kuasa asing dibenarkan campur tangan dalam menentukan siapa yang mentadbir negara.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan perlu dipandang serius dan tidak wajar dijadikan bahan untuk dibanggakan dalam mana-mana perhimpunan politik kerana ia menyentuh kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara. -MalaysiaGazette
















