ALGIERS – Pasukan penyelamat Algeria menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap di dalam perigi selama empat hari, menurut pihak berkuasa perlindungan awam.
Usaha menyelamat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Ayoub, mendapat perhatian meluas di seluruh negara.
Bagaimanapun, pada petang Sabtu, pihak perlindungan awam mengumumkan “kanak-kanak itu ditemukan dan dikeluarkan dalam keadaan sudah meninggal dunia”.
Pasukan penyelamat berusaha mendapatkan Ayoub selepas dia terjatuh ke dalam perigi sedalam 80 meter berhampiran rumahnya di kawasan perbandaran padang pasir Brezina, wilayah El Bayadh, kira-kira 550 kilometer ke selatan Algiers.
Pihak perlindungan awam berkata, perigi itu kering dan digali menggunakan kaedah tradisional, selain hanya berdiameter 40 sentimeter, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Ketika operasi masih dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk sampai kepada Ayoub kerana dia “terperangkap di bawah lapisan tanah yang tebal”.
Imej yang dikeluarkan pihak berkuasa dan media tempatan menunjukkan jentera berat digunakan untuk menggali lubang besar di sebelah perigi dalam usaha mendapatkan kanak-kanak berkenaan. – Agensi
















