ISKANDAR PUTERI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin tegang.
Jelas beliau, tiada sebarang masalah sama ada dari segi hubungan peribadi mahupun rasmi antaranya dengan Anwar, termasuk ketika menghadiri mesyuarat Kabinet.
“Saya tidak ada sebarang masalah dengan Perdana Menteri. Saya tidak ada sebarang masalah sama ada dari segi peribadi atau secara rasmi.
“Tidak ada sebarang permasalahan di antara kami ketika berada dalam mesyuarat Kabinet ataupun dalam majlis atau acara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Jakoa di EduCity di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Penerangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa), Muhammad Akmal Ila Ahmad.
Sebelum ini, sebuah portal berita antarabangsa memetik sumber yang mendakwa hubungan antara Anwar dan Ahmad Zahid semakin tegang susulan beberapa isu, termasuk keputusan Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Keadaan itu, dakwa sumber berkenaan, turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun, sedangkan Anwar selaku Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan blok yang dipimpin Ahmad Zahid bagi memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan Perlembagaan dapat dibuat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan Barisan Nasional (BN) sebagai salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan terus mengutamakan kestabilan politik negara sehingga tamat tempoh pemerintahan.
Katanya, proses membuat keputusan dalam kerajaan dilakukan secara profesional bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Yang penting bagi Barisan Nasional sebagai salah sebuah komponen di dalam Kerajaan Perpaduan adalah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.
“Kami melakukan proses membuat keputusan dan mencapai keputusan secara profesional,” katanya.
Menurutnya, kestabilan politik penting bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada dalam kerajaan Perpaduan ini hingga tamat tempoh dan ini yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik sepenuhnya.
“Ia bagi mengelakkan sebarang permasalahan terutama daripada pelabur-pelabur luar negara, FDI (pelaburan langsung asing) dan juga untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















