Pelepasan para peserta semasa acara Duathlon sempena program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026. Gambar Facebook UiTM Cawangan Pahang

KUANTAN – Mahasiswa yang maut semasa menyertai kejohanan Duathlon Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di UiTM Jengka, Maran kelmarin, dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.57 malam pada 4 September lepas, mangsa bersama empat mahasiswa lelaki lain dan empat mahasiswa perempuan mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya mangsa dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HosHAS selepas didapati dalam keadaan tenat disebabkan penurunan paras oksigen.

“Semasa mendapatkan rawatan di Unit ICU HosHAS pada 5 September kira-kira jam 2.08 petang, pelajar itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kampus UiTM Jengka, Maran telah menjadi tuan rumah kejohanan Duathlon KKEC 2026 yang bermula pada 2 September sehingga 8 September.

Kejohanan itu katanya, melibatkan 521 peserta dari seluruh cawangan UiTM di Malaysia kecuali negeri Sarawak melibatkan larian sejauh 8 kilometer (km), berbasikal (20 km) dan mara lasak (10 km).

Kira-kira jam 9.57 malam pada hari kejadian, sembilan mahasiswa terbabit dilaporkan mengalami sesak nafas ketika berlangsungnya program mara lasak.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menjadi penerima maklumat pertama berhubung perkara itu dan telah memaklumkan kepada IPD Maran pada jam 5.50 petang hari sama.

“Siasatan yang dijalankan pihak IPD Maran mendapati terdapat dua lagi pelajar dirujuk ke HosHAS yang dimasukkan ke wad ICU pada 5 September kerana penurunan oksigen, namun kini berada dalam keadaan stabil dan dalam pemerhatian,” katanya lagi.

Menurut Wong, bedah siasat telah dijalankan ke atas mangsa yang meninggal dunia di Unit Forensik HosHAS malam tadi dan hasil bedah siasat tersebut adalah “Pending Laboratory Investigations”.

Beliau menjelaskan, kes terbabit masih dalam siastan pihak polis dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih khususnya melalui media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kekeliruan pada keluarga dan masyarakat.

“Di samping itu, dinasihatkan juga agar tidak menjalankan apa-apa aktiviti lasak dalam keadaan cuaca yag panas ini selain jerebu yang berada ditahap yang tinggi iaitu purata 162 bacaan IPU yang telah direkodkan.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan. Sebarang perkembangan akan dikamlumkan dari masa ke masa,” katanya lagi.

Terdahulu, pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang dalam kenyataan memaklumkan seorang mahasiswa dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan iaitu Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21 yang menyertai KKEC 2026 meninggal dunia ketika acara itu berlangsung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here