SHAH ALAM – Tiada pergolakan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini, kata Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata, Jemaah Menteri masih bekerjasama dengan baik dalam urusan pentadbiran kerajaan termasuk ketika membincangkan isu negara dalam mesyuarat Kabinet.
Malah semua menteri UMNO menghadiri mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan perbincangan berlangsung secara serius tanpa mencampurkan urusan politik kepartian.
“Kita tidak sembang politik dalam mesyuarat Kabinet, jadi setakat ini tiada apa-apa (perubahan). Tapi kita tengoklah perkembangan, apa yang akan berlaku sebab bab politik ini urusan parti tapi dalam Kabinet saya boleh mengesahkan tiada apa-apa pergolakan,” katanya.
Lih Kang. yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata demikian ketika ditemui pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, hari ini.
Terdahulu, beliau ditanya sama ada hubungan UMNO dan PH semakin renggang susulan gabungan itu dikatakan tidak dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijangka bermula Rabu ini.
Bagaimanapun, Lih Kang tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.
“Saya tidak pasti lagi, kena semak dengan Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya.
Sebagai rekod, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu tidak menjemput PH ke PAU 2026.
Ahmad Zahid sebelum ini turut mengesahkan pertemuannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Bangkok bagi membincangkan isu penyatuan Melayu dan Islam.-MalaysiaGazette
















