Gambar fail

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL) mengemukakan tujuh cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan veteran polis menerusi Belanjawan 2027.

Setiausaha Agung VPOL, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, cadangan itu dikemukakan berdasarkan dapatan, pandangan dan keperluan yang diperoleh hasil perbincangan bersama komuniti veteran polis.

Antara cadangan utama adalah memberikan pengiktirafan rasmi kepada pesara polis dan bekas polis yang memenuhi kriteria sebagai veteran sebelum dikategorikan kepada Veteran Polis Berpencen dan Veteran Polis Tidak Berpencen.

“VPOL menghargai usaha kerajaan yang telah menyediakan kemudahan dan mekanisme kebajikan untuk pesara dan bekas polis.

“Bagaimanapun, beberapa penambahbaikan perlu dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan veteran polis dapat diperkukuh secara lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

VPOL turut mencadangkan sistem e-Pesara PDRM diperkembangkan kepada e-Veteran Polis sebagai pangkalan data rasmi kerajaan di bawah pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai urus setia.

Menurut persatuan itu, setiap veteran polis juga wajar diberikan Kad Veteran Polis yang dikeluarkan KDN sebagai pengenalan rasmi bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan secara terus kepada mereka pada masa akan datang.

Selain itu, VPOL mencadangkan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) diperkukuh dan dikaji semula untuk dijenamakan sebagai Tabung Amanah Kebajikan Veteran Polis Malaysia, dengan pengurusan kekal di bawah kerajaan serta menerima peruntukan tahunan tetap.

“Veteran Polis Tidak Berpencen serta pasangan, berdasarkan kriteria yang akan ditentukan juga dicadangkan untuk menerima rawatan dan kemudahan perubatan percuma melalui fasiliti kesihatan kerajaan.

“VPOL turut mencadangkan pewujudan green lane kepada Veteran Polis dan pasangan mereka bagi memudahkan akses kepada rawatan dan rawatan susulan di fasiliti kesihatan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, VPOL mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Veteran Polis Malaysia di bawah KDN dengan melibatkan PDRM, persatuan-persatuan veteran polis, jabatan kerajaan berkaitan serta pakar yang dikenal pasti.

Majlis itu boleh menjadi mekanisme rasmi bagi memastikan suara dan pandangan veteran polis diambil kira dalam pembentukan dasar berkaitan veteran polis dan kebajikan mereka.

VPOL turut mengusulkan program ekonomi dan kerjaya kedua, termasuk pemberian geran kepada veteran polis yang mahu memulakan perniagaan serta tajaan kerajaan untuk mengikuti kursus, latihan dan pensijilan berkaitan perniagaan melalui HRD Corp atau agensi berkaitan.

Dari sudut kerjaya, kerajaan juga dicadangkan memberikan keutamaan peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan, pengurusan risiko dan bidang lain yang dikenal pasti di badan-badan berkaitan kerajaan.

“VPOL turut mencadangkan insentif secara one-off kepada pihak swasta yang mengambil Veteran Polis sebagai pekerja bagi menggalakkan pengambilan Veteran Polis.

“Ini dapat membuka lebih banyak ruang kepada Veteran Polis yang masih berkemampuan untuk menggunakan pengalaman, disiplin dan kemahiran mereka dalam kehidupan selepas perkhidmatan,” katanya.

VPOL berpandangan pelaksanaan cadangan berkenaan dapat membantu veteran polis dan keluarga mereka dalam aspek penting kehidupan khususnya pendapatan tambahan selepas perkhidmatan, kesihatan dan kebajikan.

Pada masa sama, persatuan itu mencadangkan kemudahan berkenaan disalurkan terus kepada veteran polis yang layak tanpa mengambil kira sama ada mereka menyertai mana-mana persatuan veteran polis.

“VPOL mengambil pendekatan inisiatif kerajaan dalam menyalurkan bantuan SARA dan STR secara terus kepada penerima sebagai contoh di mana inisiatif yang dicadangkan ini juga dapat disalurkan terus kepada Veteran Polis yang layak.

“VPOL berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan yang telah dikemukakan ini sebagai satu usaha untuk menghargai dan mengangkat martabat mereka yang pernah berkhidmat kepada negara dalam kerangka Malaysia Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here