Kashif Ansari

KUALA LUMPUR – Industri hartanah berharap kerajaan melanjutkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama menerusi Belanjawan 2027, selain memperkenalkan langkah lain untuk meningkatkan kemampuan memiliki kediaman, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Pengecualian itu melibatkan duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk rakyat Malaysia yang membeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000.

Menurut beliau, insentif berkenaan membolehkan pembeli menjimatkan sehingga RM11,250 dan kini dijadualkan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027.

“Pelanjutan pengecualian duti setem adalah langkah penting kerana ia membantu lebih tiga daripada empat pembeli. Rumah berharga RM500,000 atau kurang yang diliputi pengecualian ini membentuk kira-kira 76 peratus daripada semua pembelian kediaman.

“Dengan pengecualian itu, pembeli tidak perlu membayar duti setem bagi pindah milik dan perjanjian pinjaman. Namun, bayangkan jika pembelian dibuat tanpa pengecualian. Bagi rumah pertama berharga RM500,000 dengan pinjaman 90 peratus, pembeli perlu membayar kira-kira RM9,000 bagi pindah milik dan RM2,250 bagi perjanjian pinjaman,” katanya.

Menurut Kashif, kegagalan melanjutkan pengecualian sehingga Belanjawan 2028 boleh menimbulkan masalah kepada pembeli kerana insentif itu bergantung kepada tarikh perjanjian jual beli ditandatangani dan bukannya tarikh tempahan rumah.

“Tarikh tempahan boleh dibuat beberapa bulan lebih awal berbanding tarikh perjanjian ditandatangani. Bayangkan seorang pembeli memilih rumah dalam pembinaan pada separuh kedua 2027. Mereka mungkin mendapati tidak layak menerima pengecualian kerana perjanjian hanya ditandatangani pada 2028, iaitu di luar tempoh kelayakan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan melanjutkan pengecualian menerusi Belanjawan 2027 juga boleh menjejaskan bekalan rumah mampu milik yang berkualiti.

Jelas beliau, ketidakpastian mengenai status pengecualian pada 2028 boleh menyebabkan pemaju menangguhkan projek yang dicadangkan pada masa ini.

“Pembeli yang membeli rumah pada 2027 akan kehilangan wang sebenar sekiranya kerajaan tidak melanjutkan pengecualian dalam Belanjawan kali ini,” katanya.

Namun, Kashif berkata, semua petunjuk menunjukkan kerajaan berhasrat melanjutkan dasar berkenaan.

“Walaupun kenyataan prabelanjawan Kementerian Kewangan tidak menyebutnya secara khusus, pemilikan rumah dan kemampuan menyewa pastinya menjadi fokus pertama yang digariskan.

“Berita baiknya ialah walaupun pengecualian duti setem memberi perbezaan besar kepada pembeli, kosnya kepada kerajaan tidak terlalu tinggi berbanding keseluruhan saiz belanjawan.

“Anggaran kami menunjukkan dasar itu menelan kos kira-kira RM500 juta hingga RM1 bilion setahun kepada Kementerian Kewangan, berbanding keseluruhan belanjawan berjumlah RM419 bilion,” katanya.

Kashif berkata, pelanjutan pengecualian duti setem menjadi keutamaan utama industri hartanah dalam Belanjawan 2027.

Bagaimanapun, katanya, terdapat langkah lain yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kemampuan memiliki rumah.

“Matlamat kedua kami bagi Belanjawan 2027 ialah kerajaan membantu pembeli mendapatkan pembiayaan perumahan dalam segmen mampu milik yang mencatat kadar penolakan pinjaman tertinggi.

“Tiga daripada lima permohonan pinjaman ditolak. Kami mahu mereka yang mampu membeli rumah dapat memperoleh pinjaman yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah yang menawarkan bukan sahaja pengecualian duti setem, malah diskaun daripada pemaju.

Menurutnya, kempen itu berpotensi menjimatkan pasangan muda yang membeli rumah pertama berharga RM450,000 kira-kira RM45,000, selain penjimatan duti setem sekitar RM10,000.

“Dengan mengurangkan harga keseluruhan rumah, Kempen Pemilikan Rumah turut memudahkan pembeli mendapatkan kelulusan pinjaman, justeru, ia membantu menangani kedua-dua cabaran kemampuan memiliki rumah dan pembiayaan,” katanya.

Kashif berkata, walaupun keadaan ekonomi global ketika ini amat mencabar, kerajaan telah berjaya meningkatkan kemampuan memiliki rumah serta mengurangkan defisit fiskal dari tahun ke tahun.

“Kami berpendapat pelanjutan pengecualian duti setem, pengembalian Kempen Pemilikan Rumah dan usaha membantu pembeli mendapatkan pembiayaan akan terus meningkatkan kemampuan memiliki rumah, dengan kos yang relatif kecil kepada kerajaan berbanding impaknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here