LONDON – Pengeluar kereta mewah Britain, Jaguar Land Rover (JLR), pada Isnin mengumumkan skim pemberhentian secara sukarela susulan beberapa bulan bergolak akibat serangan siber dan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap sektor berkenaan.
Media Britain melaporkan sehingga 4,000 jawatan mungkin dihentikan, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja global JLR yang melebihi 40,000 orang, menurut laman web syarikat.
Sebahagian besar tenaga kerjanya, kira-kira 34,000 kakitangan, berpangkalan di Britain.
“Dalam melaksanakan fasa seterusnya strategi kami, kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran global yang berubah sambil menyasarkan penjimatan kira-kira £1.7 bilion (AS$2.3 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang,” kata JLR dalam satu kenyataan.
JLR berkata pihaknya telah memaklumkan kakitangan dan rakan kesatuan sekerja bahawa syarikat membuka program pemberhentian secara sukarela yang menawarkan peluang kepada kakitangan bergaji tetap dan pasukan pengurusan untuk meninggalkan syarikat.
JLR dijangka memberikan maklumat lanjut mengenai langkah itu pada Isnin, manakala Menteri Perniagaan Britain, Jonathan Reynolds, dijadual bertemu pihak pengurusan syarikat awal minggu ini.
Penyusunan semula itu berlaku setahun selepas serangan siber besar menyebabkan operasi pengeluaran JLR di Britain terhenti dan menjejaskan kedudukan kewangan syarikat dengan teruk.
Dimiliki Tata Motors dari India, JLR terpaksa menghentikan pengeluaran selama lebih sebulan, mengakibatkan kerugian sebanyak £196 juta.
Turut terjejas akibat tarif AS, pengeluar kereta itu mencatat kerugian £244 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac lalu, berbanding keuntungan bersih £1.8 bilion pada tahun kewangan 2024-25.
“Kami perlu terus mempermudah struktur organisasi, meningkatkan kecekapan dan membina daya tahan yang lebih kukuh,” kata JLR.
Dalam usaha untuk bangkit daripada serangan siber itu, syarikat berkenaan minggu lalu mula menerima tempahan bagi model Range Rover baharu yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Perkembangan itu berlaku ketika pengeluar kereta Eropah berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada pengeluar China, susulan peralihan industri automotif ke arah kenderaan elektrik.
Gergasi automotif Jerman, Volkswagen, pada Khamis lalu berkata pihak pengurusan dan kesatuan sekerja mencapai persetujuan untuk menghapuskan sejumlah 100,000 pekerjaan menjelang akhir dekad ini, dalam penyusunan semula terbesar pernah berlaku dalam industri automotif global.
Syarikat itu berkata, pihaknya meluluskan pelan pengurangan kira-kira 50,000 pekerjaan, sebagai tambahan kepada 50,000 pekerjaan yang telah dipersetujui sebelum ini. – Agensi
















