KUALA LUMPUR – Lebih lima dekad berlalu, amaran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai tiga ancaman besar terhadap negara masih mempunyai kaitan dengan keadaan semasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, tiga ancaman yang pernah disebut Tun Razak ketika era 1970-an itu ialah komunisme (communism), komunalisme (communalism) dan rasuah (corruption).
Menurut Anwar, ancaman komunis dalam bentuk perjuangan bersenjata mungkin tidak lagi wujud seperti dahulu, namun pengaruh ideologi asing tetap perlu diwaspadai.
“Dan rasuah masih menjadi salah satu masalah yang besar,” katanya ketika berucap pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, di sini, hari ini.

Anwar berkata, perkara yang menarik daripada pemikiran Tun Razak ialah kemampuan negarawan itu melihat lebih jauh ke hadapan dengan mengenal pasti ancaman yang boleh menjejaskan negara, termasuk rasuah yang boleh mula mempengaruhi golongan berkuasa.
Malah, katanya, Tun Razak pernah mengingatkan mahasiswa Melayu supaya tidak menganggap penolakan terhadap rasuah akan kekal apabila mereka mula memegang jawatan dan kuasa.
Anwar mengimbas pesan Tun Razak kepada anak muda ketika itu bahawa mereka lantang menolak rasuah kerana belum ada pihak yang mahu merasuah mereka, tetapi pendirian itu boleh berubah apabila sudah memegang jawatan.
Beliau berkata, Tun Razak juga pernah menghantar pegawai yang dekat dengan kelompok elit pentadbiran ketika itu ke universiti untuk membicarakan mengenai ancaman rasuah.
Anwar berkata, pesanan berkenaan wajar terus dihayati generasi muda kerana cabaran negara bukan sekadar berkaitan pembangunan fizikal, tetapi juga soal integriti, perpaduan dan keupayaan mempertahankan prinsip apabila diberikan kuasa.
Mengenai komunalisme pula, beliau berkata ancaman sentimen perkauman masih perlu diberi perhatian dalam sebuah negara majmuk, manakala fahaman atau ideologi asing juga perlu ditangani dengan kewaspadaan.
Menurutnya, pemikiran Tun Razak tidak seharusnya dilihat sebagai catatan sejarah semata-mata, sebaliknya gagasan dan pesanan beliau perlu difahami semula mengikut cabaran semasa.
“Usaha kita untuk menyemarak obor, menghidupkan semula apinya. Mengenang Tun Razak bukan sekadar mengingati kisah hidupnya, tetapi menghidupkan semula semangat perjuangan dan gagasan negarawan itu,” ujarnya.
Anwar berkata, generasi muda khususnya perlu menghayati pesanan tersebut bagi memastikan usaha mengangkat martabat bangsa dan membina negara terus berlandaskan prinsip yang mampu menyelamatkan negara daripada ancaman yang pernah diberi amaran oleh Tun Razak. -MalaysiaGazette
















