KUALA LUMPUR – Mangsa keldai akaun tidak sepatutnya berdepan pendakwaan berulang hanya kerana akaun mereka digunakan berkali-kali oleh sindiket penipuan sedangkan penyerahan kad bank atau akses akaun berlaku sekali.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perkara itu perlu diteliti berdasarkan rantaian bukti bagi membezakan perbuatan pemilik akaun dengan jenayah yang dilakukan pihak yang menguasai akaun berkenaan.
“Perlakuan menyerahkan kad itu berlaku sekali tetapi pihak yang melakukan penipuan menggunakannya berkali-kali. Jadi tidak adil untuk orang ini didakwa secara berulang atas kesalahan yang dilakukan sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu melihat dengan jelas aliran sesuatu kes, termasuk siapa menyerahkan kad, siapa mengawal akaun dan siapa melakukan transaksi yang dipertikaikan.
“Rantaian bukti itu kena dilihat. Dari titik A ke titik B, penyerahan kad itu berlaku berkali-kali atau sekali? Kalau sekali, yang berlaku berkali-kali selepas itu adalah perbuatan pihak lain,” ujarnya.
Hishamuddin turut mempersoalkan dakwaan pemilik akaun sengaja menyembunyikan transaksi sedangkan kawalan terhadap akaun mungkin telah berada pada tangan sindiket.
“Kalau dikatakan berlaku perbuatan menyembunyikan transaksi, siapa sebenarnya yang menyembunyikan dan siapa yang mempunyai kawalan terhadap akaun itu?
“Adakah kawalan tersebut berada pada pemilik akaun atau individu yang memegang nama pengguna dan kata laluan? Kalau kawalan berada pada penipu, bagaimana pemilik akaun boleh dianggap mempunyai kawalan terhadap perbuatan itu?” soalnya.
Beliau berkata, persoalan tersebut penting kerana kesalahan jenayah memerlukan penelitian terhadap dua elemen utama iaitu perlakuan jenayah dan niat untuk melakukan jenayah.
“Dalam kes mangsa keldai akaun, persoalannya ialah sama ada ketika menyerahkan kad atau akses akaun itu, dia memang mempunyai niat untuk membantu melakukan penipuan.
“Kalau dia menyerahkan kad kerana percaya ia sebahagian daripada urusan pinjaman atau prosedur tertentu di mana niat untuk melakukan penipuan itu?” soalnya.
Malah beliau berkata, tindakan mangsa menghubungi pihak berkaitan selepas menyedari akaun mereka disalahgunakan juga wajar diberi perhatian ketika menilai kewujudan niat melakukan jenayah.
Hishamuddin menegaskan, isu lebih besar timbul apabila elemen niat didakwa tidak dipenuhi, namun mangsa masih berdepan siasatan dan pendakwaan secara berulang. – MalaysiaGazette
















