KUALA LUMPUR – Kempen Belanja & Menang 2026 kembali untuk edisi kedua dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM215,600, selepas edisi sulung tahun lalu merekodkan hampir 1.9 juta transaksi di 14 lapangan terbang domestik.

Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, kempen yang berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2026 itu buat pertama kali diperluaskan ke empat lapangan terbang antarabangsa di bawah rangkaiannya iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, peluasan penyertaan itu membolehkan lebih ramai penumpang dan pengunjung menikmati pengalaman serta ganjaran kempen berkenaan di seluruh rangkaian lapangan terbang.

“Pelaksanaan Belanja & Menang 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia Airports untuk memperkukuh penawaran komersial di lapangan terbang serta menjadikan pengalaman membeli-belah dan menjamu selera lebih menarik dan bernilai kepada penumpang dan pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Tahun ini, Malaysia Airports turut bekerjasama dengan Traveloka sebagai rakan strategik, dengan menawarkan pakej percutian sebagai sebahagian daripada hadiah kempen.

Hadiah utama yang ditawarkan termasuk Proton e.MAS 7 Prime, motosikal KTM Duke 390, jongkong emas dan pakej percutian Traveloka.

Selain hadiah utama, lima pemenang akan dipilih setiap bulan untuk menerima hadiah wang tunai bersama pakej percutian Traveloka sepanjang tempoh kempen.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin berkata, pencapaian edisi tahun lalu membuktikan penawaran komersial yang relevan dan menarik mampu memberi nilai tambah kepada pengalaman di lapangan terbang.

“Selain lapangan terbang domestik, tahun ini kami memperluas kempen ini ke beberapa lapangan terbang antarabangsa selain Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengambil bahagian.

“Ini juga selari dengan usaha kami yang lebih luas untuk mewujudkan pengalaman runcit yang lebih tersendiri dan relevan, dengan penawaran serta pilihan yang lebih mencerminkan corak perjalanan dan perbelanjaan semasa,” katanya.

Bagi menyertai kempen, penumpang dan pengunjung perlu berbelanja minimum RM25 menggunakan maksimum dua resit di lapangan terbang domestik yang mengambil bahagian.

Bagi lapangan terbang antarabangsa yang terlibat pula, perbelanjaan minimum ditetapkan sebanyak RM50 menggunakan maksimum dua resit.

Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau mengisi borang penyertaan berserta resit pembelian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here