PUTRAJAYA – Prestasi murid Malaysia dalam sains dan bacaan menunjukkan perkembangan positif dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2025.
Bagaimanapun pencapaian matematik masih memerlukan perhatian serius bagi memastikan peningkatan pendidikan negara dapat dikekalkan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan PISA 2025 memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai sistem pendidikan negara, bukan sekadar dari sudut pencapaian akademik semata-mata.
“Malah ia membabitkan kekuatan murid, sokongan guru, ekuiti antara sekolah serta keupayaan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Malaysia mencatatkan 419 mata dalam Sains dan 393 mata dalam bacaan, masing-masing menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian PISA 2022,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.
Menurut Fadhlina, pencapaian matematik pada 397 mata menunjukkan bidang itu masih perlu diberikan tumpuan berterusan, khususnya dalam usaha memperkukuh kemahiran numerasi dan penyelesaian masalah dalam kalangan murid.
“PISA bukan sahaja mengukur pencapaian akademik, tetapi turut memperlihatkan kekuatan murid, sokongan guru, ekuiti antara sekolah serta keupayaan penting yang perlu dibina untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.
Fadhlina juga berkata, penilaian dilaksanakan buat julung kalinya Malaysia turut mencatatkan 484 mata dalam Penyelesaian masalah K=komputasional memperlihatkan potensi murid negara dalam kemahiran semakin penting dalam dunia digital dan ekonomi berasaskan teknologi.
“Dapatan berkenaan memberi gambaran bahawa selain penguasaan akademik asas, murid Malaysia mempunyai kekuatan dalam kemahiran menyelesaikan masalah menggunakan pendekatan komputasional.
“Dari sudut ekuiti pendidikan pula, jurang pencapaian antara sekolah di Malaysia kekal relatif rendah apabila hanya sekitar 17 peratus variasi pencapaian berlaku antara sekolah, jauh lebih rendah berbanding purata antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, dapatan itu mencerminkan bahawa peluang untuk mencapai prestasi pendidikan baik tidak terlalu bergantung kepada sekolah yang dihadiri murid, sekali gus menjadi antara kekuatan sistem pendidikan Malaysia.
“PISA 2025 turut membawa mesej penting berkaitan persekitaran sokongan yang diterima murid di luar bilik darjah.
“Murid Malaysia dilaporkan menikmati tahap sokongan guru yang tinggi, namun pada masa sama tahap sokongan keluarga terhadap pendidikan menunjukkan penurunan berbanding PISA 2022,” katanya.
Selain itu, katanya, usaha meningkatkan prestasi pendidikan tidak boleh hanya diletakkan di bahu guru dan sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan lebih kukuh daripada keluarga serta komuniti.
“Lebih membimbangkan ialah isu keselamatan digital apabila kadar murid Malaysia yang melaporkan mengalami buli siber adalah lebih tinggi daripada purata antarabangsa.
“Dapatan PISA turut menunjukkan hubungan negatif yang kuat antara pengalaman buli siber dengan hasil pembelajaran, menjadikan isu keselamatan digital.
“Ia bukan lagi sekadar persoalan disiplin atau penggunaan media sosial, tetapi turut mempunyai implikasi terhadap prestasi akademik dan kesejahteraan murid,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, KPM akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat melalui kerjasama sekolah, keluarga dan komuniti.
“Dapatan PISA 2025 juga selari dengan usaha reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM termasuk menerusi Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026-2035 (RTPMM) dan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP27),” katanya.
Jelasnya lagi, keputusan PISA 2025 perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh perkara menunjukkan kemajuan, selain mengenal pasti ruang yang masih memerlukan intervensi.
“Peningkatan sains dan bacaan serta kekuatan dalam penyelesaian masalah komputasional memberikan petunjuk positif terhadap keupayaan murid Malaysia.
“Namun, cabaran matematik, sokongan keluarga semakin menurun dan peningkatan buli siber menunjukkan agenda pendidikan negara memerlukan pendekatan lebih menyeluruh daripada bilik darjah hingga ke rumah dan persekitaran digital murid,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















