PARIS – Bahagian gunung yang runtuh sehingga mencetuskan banjir meragut nyawa di Nepal dan China pada 26 Ogos mengalami suhu luar biasa tinggi bagi tempoh berkenaan, menurut data meteorologi yang dianalisis seorang penyelidik.
Suhu purata di glasier gunung pada ketinggian 5,200 meter (17,060 kaki) dianggarkan sekitar lima darjah Celsius antara 21 dan 26 Ogos.
Menurut beliau, suhu tersebut adalah sangat tinggi.
Suhu di glasier gunung tidak pernah melebihi 4.0 darjah Celsius dalam tempoh sama sepanjang lebih 55 tahun rekod data, walaupun setakat ini tiada kaitan langsung dengan kejadian runtuhan itu dapat dipastikan.
Siri suhu yang sangat setempat itu dibina semula oleh Robert Rohde, ketua saintis di organisasi bebas Berkeley Earth yang berpangkalan di California.
Di lokasi runtuhan, suhu purata yang direkodkan sepanjang tempoh enam hari itu meningkat kira-kira 1.8 darjah Celsius sejak pertengahan abad ke-20.
Tanpa haba tambahan yang dibawa perubahan iklim, corak suhu yang sama “berkemungkinan hanya berlaku sekali dalam beberapa ribu tahun”, menurut pengiraan Rohde kepada AFP.
Runtuhan itu berlaku ketika wilayah Langtang yang mengalami musim panas keempat paling panas dalam rekod, berdasarkan analisis AFP terhadap data daripada balai cerap Copernicus Eropah yang bermula pada 1970.
– Titik kritikal –
“Keadaan panas ini juga boleh menjelaskan pencairan permafros serta keruntuhan cerun dan glasier secara serentak,” kata ahli klimatologi Perancis, Valerie Masson-Delmotte.
Permafros bertindak seperti simen ais yang mengikat permukaan batu bersama. Kemerosotannya menyebabkan struktur tersebut menjadi lebih tidak stabil.
Imej satelit turut menunjukkan pencairan salji yang ketara pada hari-hari sebelum bencana itu, yang menyediakan “sumber air cecair yang banyak yang boleh meresap ke dalam rekahan gunung dan memudahkan kejadian tanah runtuh”, kata Etienne Berthier, ahli glasiologi di agensi penyelidikan CNRS Perancis.
Bagaimanapun, pakar masih berhati-hati dalam menentukan peranan sebenar gelombang haba berkenaan.
“Ia tidak semudah ‘suhu tinggi menyebabkan runtuhan’,” kata Kristen Cook, ahli geomorfologi di Universiti Grenoble Alpes di Perancis, kepada AFP.
“Jika suhu bertindak sebagai pencetus, nampaknya ia perlu menunggu sehingga batuan itu berada tepat pada titik kritikal untuk runtuh,” katanya.
Penyelidik kini meneliti pergerakan kecil yang dikesan di gunung itu pada tahun-tahun sebelum runtuhan serta interaksinya dengan perubahan suhu.
Menurut Rohde dari Berkeley Earth, membuktikan bahawa batuan berhampiran satah rekahan menjadi lemah dengan ketara akibat air cair dan/atau pencairan permafros akan menjadi “bukti kukuh” perubahan iklim.
Analisis suhu beliau menggunakan data daripada model iklim ERA5 program Copernicus serta rangkaian 14 stesen cuaca altitud tinggi yang terletak antara sembilan hingga 140 kilometer (enam hingga 87 batu) dari glasier yang runtuh. -AFP
















