JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing terhadap lima lelaki atas kesalahan menjadi keldai akaun antara 2024 hingga bulan ini.
Semua mereka yang berdepan pertuduhan pilihan berkaitan keldai akaun membabitkan penipuan tawaran pekerjaan, pinjaman dan pembelian barangan secara dalam talian yang tidak wujud.
Tertuduh Mohd Ridduan Samsi, 43; Mohd Daniel Zainal, 31; Muhamad Iltizam Mohsin, 35; G Thacheneswaran, 23 dan Ngisa Muridi, 56, mengaku salah selepas pertuduhan ke atanya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd Ridduan yang merupakan pemandu lori didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM1,000 ke akaun bank miliknya di Jalan Pelanduk Utama Taman Scientex, Pasir Gudang di sini pada 17 November 2024.
Mohd Daniel yang tidak bekerja pula didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM3,093 ke akaun bank miliknya di sebuah pangsapuri di Jalan Mutiara 7, Taman Perindustrian Plentong, Masai di sini pada 13 Julai lalu.
Muhamad Iltizam pula yang bekerja sebagai kerani didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM2,000 ke akaun miliknya di nombor 7, Jalan Teratai 2, Taman Johor Jaya di sini pada 6 Februari lalu.
Bagi Thacheneswaran yang tidak bekerja pula didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM3179.01 ke akaun miliknya di nombor 89 Jalan Pulasan 29, Taman Kota Masai di sini pada 14 Ogos lalu.
Ngisa yang merupakan pengawal keselamatan pula didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM1,700 ke akaun miliknya di nombor 25 Jalan Sejambak 13 Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini pada 17 Disember tahun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette















