KUALA LUMPUR – Sebuah lori tangki terbakar di bahagian kepala kenderaan dalam kejadian di Kilometer 33.7 Lebuhraya Karak berhampiran Kampung Sungai Chinchin, Gombak, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 petang.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 23 kilometer.
“Sebaik anggota tiba di lokasi pada jam 2.08 petang mendapati , sebuah lori jenis Volvo terbakar pada bahagian kepala.
“Kemusnahan dianggarkan 30 peratus dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, manakala api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik sesak sejauh 8.5 kilometer susulan kejadian kebakaran itu.
Menurut maklumat LLM, pada jam 3.16 petang kerja-kerja pengalihan kenderaan terbabit sedang dijalankan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memberi tumpuan ketika memandu serta memastikan jarak selamat dengan kenderaan lain. – MalaysiaGazette















