KOTA TINGGI – Kawasan 17 hektar hutan berhampiran jirat Cina di Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai di sini yang terbakar sejak kelmarin mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 71 iaitu pada tahap sederhana.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus yang juga Pegawai Daerah Kota Tinggi berkata, bacaan tersebut direkodkan setakat pukul 4 petang semalam.
“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemantauan di kawasan terjejas dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadaan kebakaran dapat dikawal serta tidak menjejaskan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang dipindahkan dilaporkan. Kawasan kebakaran itu berlaku kira-kira 20 kilometer dari Bandar Penawar menghala ke Sungai Rengit melalui Jalan Persekutuan berhampiran kawasan perumahan Bukit Pelali,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu katanya, bagi mencegah kebakaran terbuka seperti yang berlaku itu beberapa langkah mengurangkan risiko kebakaran perlu dilakukan orang ramai khususnya pemilik tanah dan penduduk di kawasan berhampiran.
Jelasnya, mereka dinasihatkan untuk tidak menceroboh, memasuki atau menggunakan tanah kerajaan atau tanah milik pihak lain tanpa kebenaran.
Katanya, juga tidak membersihkan, menebas, menebang pokok, menanam atau mendirikan struktur di tanah bukan milik sendiri tanpa kebenaran.
Begitu juga katanya, tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering serta tidak membuang puntung rokok, bahan mudah terbakar atau sumber api di kawasan tanah lapang dan tumbuhan kering.
Ini termasuk memastikan kawasan tanah sentiasa bersih, bebas daripada bahan mudah terbakar dan dipantau secara berkala, katanya.
“Segera melaporkan sebarang asap, api atau aktiviti pembakaran mencurigakan kepada pihak berkuasa dan menghubungi 999 sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Perlu juga katanya, bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha pemantauan dan pencegahan kebakaran serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.
Langkah akhir yang wajar dilakukan katanya, memasang papan tanda amaran, tanda sempadan dan pagar yang jelas di kawasan berisiko bagi membantu mengawal pencerobohan tanah.
Kata Miswan, pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa pencerobohan tanah kerajaan tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara manakala pembakaran terbuka mempunyai implikasi undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mencegah kejadian kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca panas dan kering,” ujanya.
Terdahulu portal ini melaporkan, 12 hektar atau 70 peratus daripada keseluruhan 17 hektar kawasan hutan di situ yang terbakar sejak kelmarin sudah berjaya dipadamkan setakat tengah hari tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Pegawai Bomba Tinggi II Abd Rahim Abdul Rani dilaporkan berkata, kerja-kerja pemadaman di kawasan tanah gambut itu dilakukan tanpa henti sejak kira-kira 5 petang kelmarin.- MalaysiaGazette















