JOHOR BAHRU – Tujuh daripada 21 suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan di Kulai bulan lalu akan didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini dan Kulai esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pertuduhan itu dilakukan selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam sebelum menerima arahan untuk pendakwaan.
“Seorang suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta 12 kali sebatan jika tidak dihukum mati.
“Seorang suspek lagi akan dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara antara 10 tahun dan juga denda,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, empat lagi suspek akan dituduh di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat, jika sabit kesalahan hendaklah penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Katanya, pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kulai manakala Seksyen 307 Kanun Keseksaan dituduh di Mahkamah Majistret di sini.
Menurut beliau, 14 lagi suspek akan dijadikan saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Ab Rahaman memberitahu, semakan ke atas semua suspek mendapati 14 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian seringan awal air kencing mendapati semua keputusan negatif.
Pada 28 Ogos lalu, Ab Rahaman dilaporkan berkata, polis menahan 13 individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bagi membantu siasatan kes kematian remaja perempuan berkenaan dan kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Beliau berkata, sebelum itu Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat orang awam berhubung kemalangan jalan raya melibatkan kereta Perodua Myvi hitam di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, pukul 12.38 tengah malam.
Kata Ab Rahman, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu lelaki berumur 20 tahun bersama-sama empat penumpang, termasuk mangsa.
“Kesemua mereka yang baru keluar makan malam dalam perjalanan dari Jalan Kenanga, Indahpura (Kulai) menuju ke rumah masing-masing sebelum kenderaan mangsa diekori beberapa kenderaan, termasuk sebuah Toyota Vellfire hitam.
“Apabila tiba di bulatan berkenaan, kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire terbabit sehingga terbabas ke bahu jalan,” katanya.
Ab Rahaman berkata rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi hadapan penumpang tercampak keluar selepas pintu kereta rosak.
Katanya lagi, hasil soal siasat mendapati mangsa kemudiannya dipercayai dilanggar oleh Toyota Vellfire berkenaan sebelum kenderaan itu melarikan diri, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.- MalaysiaGazette















