KUALA LUMPUR – Trend ubah suai kenderaan secara ekstrem dan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dengan memasang ‘ekzos berapi’ mengundang padah apabila 37 kenderaan disita menerusi Ops Ekstrem pada 6 September lalu.
Operasi bermula jam 1 hingga 5 pagi itu dilaksanakan di sekitar ibu negara terutamanya di Jalan Raja Laut melibatkan seramai 78 anggota dari Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu dilakukan susulan aduan orang awam berkaitan aktiviti tersebut yang menimbukan gangguan bunyi dan ketenteraman kepada masyarakat di kawasan sekitar.
“Kita tidak akan melepaskan kenderaan ini (disita) selagi pemilik kenderaan tidak diambil tindakan undang-undang dan kenderaan itu dikembalikan kepada spesifikasi serta bentuk yang asal.
“Kalau kita tengok yang kos pengubahsuaian ekstrem seperti sistem suspensi udara atau ‘air suspension’ dianggarkan antara RM15,000 ke RM25,000 dan ia dikesan mula dibawa masuk dari Borneo ke ibu negara dan jadi ikutan golongan muda berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
“Malah ada kos ubah suai ekzos meletup hingga mengeluarkan api boleh mencecah hingga RM150,000 selain ada yang ubah suai hingga badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan.
“Sebarang bentuk pengubahsuaian kenderaan ini perlu mendapat kelulusan daripada JPJ dan yang ni memang sudah pastilah memang tak dapat kelulusan sebab itu kita tahan,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Tegas beliau, jalan raya bukan medan mempamerkan pengubahsuaian ekstrem, menguji keupayaan kenderaan atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Hasil operasi ini, sebanyak 485 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah tertinggi melibatkan nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi iaitu sebanya 957 kes.
“Ia diikuti kesalahan ekzos (77 kes), Lesen Kenderaan Motor LKM tamat tempoh (66 kes), tiada pelindungan insurans (57 kes), cermin gelap (44 kes) serta pengubahsuaian bentuk (11 kes),” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya telah mengenal pasti beberapa pembekal barangan pengubahsuaian dan akan memanjangkan isu tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kita akan maklum dan mengeluarkan senarai spefikasi barangan seperti air suspesion dan ekzos haram ini untuk diambil tindakan serta tidak dibenarkan bawa masuk termasuk mengambil tindakan ke atas bengkel tidak berdaftar.
“Kita juga akan memperluaskan Ops Ektrem ini ke seluruh negara bermula minggu ini bagi mengekang aktiviti ini berleluasa,” jelasnya. – MalaysiaGazette















