Mantan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dijangka didakwa di mahkamah esok,  sekali lagi ditahan malam ini dan kini berada di Balai Polis Dang Wangi.

Keberadaan Abdul Azeez itu dimaklumkan oleh anaknya, Azman Azeez menerusi hantaran di media sosial malam ini.

Menurut Azman, bapanya sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen esok bagi menghadapi pertuduhan, namun kini ditahan di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan direman bermula esok.

“Esok juga sepatutnya menjadi hari beliau bersama-sama sahabat seperjuangannya di Perhimpunan Agung UMNO. Tetapi malam ini, segala perancangan itu berubah,” katanya.

Azman berkata, sebagai anak, beliau tidak pernah menyangka perlu menulis mengenai bapanya dalam keadaan sedemikian.

“Selama ini saya melihat ayah sebagai seorang yang sangat kuat. Dalam banyak keadaan, saya lihat sendiri bagaimana ayah memilih untuk diam apabila dihina, memilih untuk bersabar apabila difitnah dan memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada Allah apabila berdepan ujian,” ujarnya dengan penuh emosi.

Beliau berkata, melihat bapanya melalui situasi itu bukan sesuatu yang mudah, malah mengakui ada rasa sedih, takut dan kecewa.

Namun, menurutnya, dia belajar daripada bapanya supaya tidak melawan kezaliman dengan kebencian, membalas fitnah dengan fitnah dan tidak berhenti percaya kepada keadilan Allah.

“Saya tidak mahu mendahului proses mahkamah. Saya juga tidak mahu menghukum sesiapa.

“Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis. Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Azman Azeez

Azman turut memohon orang ramai mendoakan bapanya agar diberikan kekuatan, ketenangan dan perlindungan serta segala urusan dipermudahkan.

“Dan paling penting, doakan agar kebenaran akhirnya menemukan jalannya.

“Kerana di sebalik seorang yang dikenali ramai sebagai Azeez Rahim, beliau seorang insan yang kami sekeluarga panggil Ata. Malam ini, sebagai seorang anak, hati saya benar-benar berat dan sedih. Hasbunallah wanikmal wakil,” ujarnya.

MalaysiaGazette difahamkan, Abdul Azeez akan berdepan satu pertuduhan yang berkaitan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here