KUALA LUMPUR – DAPSY disifatkan tersalah sasaran apabila menjadikan tajaan kepada 27 pelajar terbaik STPM 2025 sebagai bahan serangan politik terhadap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri berkata, kritikan Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong, terhadap program berkenaan tidak seharusnya sampai memperkecilkan pencapaian pelajar terbabit.
Menurutnya, hak untuk mengkritik mana-mana menteri atau kementerian tidak pernah dipersoalkan, namun kritikan terhadap dasar perlu dibezakan daripada serangan peribadi serta tindakan merendahkan pengiktirafan yang diterima pelajar cemerlang.
“Jangan kerana ghairah mahu menyerang Menteri, pencapaian anak-anak muda pula diperkecilkan.
“Penggunaan ungkapan sinis seperti ‘mere 27 sponsorships’ amat tidak kena pada tempatnya. Bagi DAPSY mungkin hanya 27, tetapi bagi 27 pelajar dan keluarga mereka, tajaan itu ialah pengiktirafan terhadap bertahun-tahun kerja keras,” katanya.
Bakti berkata, program tajaan berkenaan mempunyai objektif khusus untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar terbaik STPM selain membantu mereka meneruskan kecemerlangan di universiti.
Katanya, seramai 27 pelajar daripada 18 universiti awam (UA) menerima tajaan tersebut, sekali gus menunjukkan inisiatif itu bukan bertujuan menyelesaikan keseluruhan permasalahan pendidikan tinggi negara seperti yang didakwa DAPSY.
“Menyerang program tersebut kerana ia ‘hanya’ melibatkan 27 orang adalah serangan terhadap sesuatu yang tidak pernah pun didakwa oleh KPT sebagai penyelesaian muktamad kepada seluruh masalah pendidikan tinggi Malaysia.
“Pelajar mahu sistem yang adil dan reformasi kemasukan universiti, tetapi itu tidak bermakna usaha menghargai kecemerlangan pelajar perlu diketepikan,” katanya.
Bakti turut menegaskan, reformasi sistem pendidikan tinggi dan pemberian pengiktirafan kepada pelajar cemerlang boleh dilaksanakan secara serentak tanpa perlu meletakkan kedua-duanya sebagai pilihan yang bertentangan.
“Jangan jadikan 27 pelajar cemerlang sebagai prop dalam pertarungan politik. Apa yang sepatutnya berada di tengah perbahasan ialah kepentingan mahasiswa dan masa depan pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata, kritikan terhadap dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh diteruskan secara konstruktif, namun tidak wajar dilakukan dengan memperlekeh usaha serta pencapaian pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan akademik mereka.
“Jika DAPSY benar-benar percaya bahawa bakat tidak mengenal kaum, mereka sewajarnya mengalu-alukan program yang memberikan pengiktirafan kepada anak-anak Malaysia daripada pelbagai latar berdasarkan kecemerlangan,” katanya.
Bakti berkata, perdebatan mengenai pendidikan tinggi sepatutnya menjurus kepada usaha memperbaiki sistem kemasukan, meningkatkan ketelusan dan memperkukuh kualiti pendidikan tanpa menjadikan pelajar cemerlang sebagai sasaran politik. -MalaysiaGazette
















