KUALA LUMPUR – UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat Negeri Sembilan mengapa Menteri Besar daripada parti itu, Datuk Ismail Lasim, didakwa menandatangani dokumen berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kata Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed.

Katanya kepada MalaysiaGazette, persoalan itu semakin besar kerana sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, antara naratif yang dimainkan ialah kononnya Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, mempunyai kaitan dengan isu institusi Raja.

“Selama kempen PRN, DAP dan PH dituduh seolah-olah terlibat dengan isu institusi Raja. Ramai pengundi Melayu dibawa untuk percaya bahawa merekalah puncanya.

“Tetapi selepas pilihan raya, PH dan DAP tidak berada dalam kerajaan Negeri Sembilan. Yang memerintah ialah kerajaan yang dipimpin Menteri Besar UMNO. Sekarang muncul pula dokumen yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar UMNO sendiri,” tegasnya.

Zainol berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan yang wajar dijawab UMNO, khususnya mengenai tujuan dokumen berkenaan ditandatangani dan pihak yang mengemukakan dokumen tersebut.

“Kalau benar seperti yang dinyatakan Undang bahawa Menteri Besar menandatangani dokumen itu, maka rakyat berhak tahu mengapa beliau tandatangan dan dalam kapasiti apa.

“Jangan pula selepas ini persoalan tersebut dialihkan kembali kepada DAP atau PH. Mereka bukan sebahagian daripada kerajaan Negeri Sembilan,” tegasnya.

Dokumen yang tular itu bertarikh 3 Ogos 2026 dan memaparkan tandatangan Ismail selaku Menteri Besar Negeri Sembilan, dengan kandungannya merujuk kepada Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Lebih menarik perhatian, tarikh tersebut adalah sehari selepas Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz.

Zainol berkata, perkara itu menjadikan persoalan mengenai dokumen berkenaan lebih serius kerana ia membabitkan institusi Raja, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan kedudukan Menteri Besar.

“Ini bukan lagi soal siapa yang dituduh ketika kempen. Sekarang rakyat mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Kalau tandatangan itu benar milik Menteri Besar, jelaskan. Kalau ada konteks tertentu mengapa beliau menandatangani, jelaskan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu berkaitan Tuanku Muhriz masih berlarutan selepas PRN sedangkan sebelum pilihan raya, isu institusi Raja seolah-olah dijadikan modal untuk menyerang PH dan DAP.

“Persoalannya mudah. Mengapa DAP yang dituduh, sedangkan selepas pilihan raya muncul dokumen yang mengaitkan Menteri Besar UMNO?

“Kalau benar mahu mempertahankan institusi Raja, jangan jadikan institusi itu sebagai bahan politik untuk memburukkan lawan.

”Rakyat sekarang mahu melihat konsistensi antara apa yang dikatakan ketika kempen dengan apa yang berlaku selepas menang,” katanya.

Zainol menegaskan UMNO perlu tampil memberikan penjelasan kerana dakwaan tersebut kini membabitkan pemimpin daripada parti berkenaan.

“Jangan setiap kali timbul masalah, DAP dan PH yang dipersalahkan. Kali ini persoalannya datang daripada dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan Menteri Besar UMNO sendiri.

“Jadi UMNO perlu jawab. Siapa yang terlibat, mengapa dokumen itu ditandatangani dan apakah tujuan sebenar tindakan tersebut?,” soalnya.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan tidak wajar dibiarkan terus berdepan kekeliruan mengenai isu berkenaan, terutama apabila ia menyentuh kedudukan institusi Raja.

“Rakyat sudah membuat pilihan. Sekarang mereka berhak mendapat penjelasan yang jujur dan jelas, bukan terus disajikan dengan tuduhan terhadap pihak yang tidak berada dalam kerajaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Proklamasi turunkan Tuanku Muhriz: Dokumen ditandatangani Ismail tak sah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here