KUALA LUMPUR – UMNO tidak bercakap soal mengkhianati mana-mana pihak, sebaliknya parti itu mempunyai tanggungjawab ke atas ahli dan survival politiknya sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, komitmen UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan dipatuhi secara bertanggungjawab atas tuntutan Yang di-Pertuan Agong demi memastikan kestabilan negara.
“Dilema di peringkat akar umbi sama ada mahu meneruskan kerjasama, bergerak solo atau beralih arah selepas ini, saya boleh katakan hala tuju parti telah pun terpancar melalui tindakan dan pendirian pemimpin UMNO.
“Kena ingat, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang berdiri sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Janji kita bersama PH adalah sehingga PRU16.
“Kita tidak pernah berjanji untuk meneruskan gabungan ini, tidak mengkhianati mana-mana pihak sebab kami kena fikirkan parti kami, mereka juga kena fikirkan parti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG yang mengupas hala tuju BN selepas Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026).
Mengulas mengenai momentum kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan, Mohd Razlan menolak tanggapan UMNO mengambil kesempatan di atas pergolakan atau kelemahan parti lawan untuk kembali bangkit.
“UMNO jauh sekali nak mendabik dada.
“Kami faham kedudukan kami dan sedar hanya ada 30 kerusi di Parlimen.
“Tetapi daripada dulu, UMNO tidak mengambil sikap populis hanya semata-mata nak menang pilihan raya.
“Rakyat menilai kerja kita, apabila kita tunjukkan contoh pentadbiran yang baik di Johor dengan tawaran pelaburan dan visi yang jelas, rakyat sendiri yang memilih untuk kembali menyokong BN,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Razlan turut mengkritik tindakan sesetengah pihak yang kembali mendedahkan dan mempolitikkan isu-isu lama pimpinan terdahulu menjelang peralihan sokongan rakyat.
“Langkah membangkitkan semula naratif berkenaan selepas bertahun-tahun berlalu sebagai satu bentuk ‘politik dendam’ dan ugutan politik yang tidak lagi relevan kepada rakyat.
“Kenapa perlu ulangi sekali lagi politik dendam ini?
“Perkara itu dah bertahun berlalu, kenapa sekarang baru nak buat? Bagi pemikiran rakyat di luar sana, ini semua adalah pendakwaan politik semata-mata untuk memburukkan parti yang sedang meningkat.
“Ahli politik kena ada political will untuk hentikan perkara ini.
“Kalau ada kesalahan, ambil tindakan ikut saluran undang-undang, jangan gunakan isu itu pada waktu-waktu yang kita nak gunakan sahaja,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai fokus PAU 2026 yang berlangsung kali ini, Mohd Razlan berkata, perhimpunan itu akan digunakan sebagai medan untuk menawarkan jalan hadapan serta formula terbaik bagi membantu masalah sosioekonomi rakyat.
“PAU ini tempat untuk kita bawa suara dan kerisauan rakyat.
“UMNO adalah parti yang matang dan berjiwa besar.
“Kita tidak menghentam atau menghina orang lain, tetapi kita fokus kepada formula untuk membawa negara ini ke hadapan,” katanya. -MalaysiaGazette
















