KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri yang memilih untuk memakai baju lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwarna ungu dan bergari ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Ahli Parlimen Baling itu berkeras untuk memakai baju lokap dan hadir dalam keadaan bergari walaupun telah dinasihati pegawai SPRM dan polis yang mengiringi beliau serta peguamnya sendiri.
“Untuk makluman, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau telah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, SPRM menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.
Sehubungan itu, suruhanjaya itu meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan isu ini. -MalaysiaGazette
















