Dr. Noor Fareen Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Sekiranya berlaku kerjasama antara BN dan PN untuk mendepani PRU-16, gabungan berkenaan dijangka berdepan dilema bagi menamakan poster boy untuk menjadi Perdana Menteri setanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Noor Fareen Abdul Rahim, landskap politik negara bakal memperlihatkan pertembungan sengit antara kepercayaan yang telah dibina dan harapan masa depan rakyat.

Katanya, PRU-16 merupakan medan pembuktian rekod prestasi dan dasar-dasar yang membawa impak nyata kepada negara.

Jelasnya, Kerajaan Madani selama ini konsisten menekankan kepentingan aspek integriti serta komitmen jitu dalam membanteras gejala rasuah secara menyeluruh.

“Kita perlu sedar bahawa isu rasuah dan sebarang salah laku tidak beretika dalam pentadbiran sememangnya tidak membawa sebarang faedah, malah akhirnya hanya akan menyusahkan kehidupan rakyat marhaen.

“Lambakan kes rasuah yang dilaporkan saban hari bukan sekadar mencalar imej pentadbiran, malah jelas menggugat kestabilan ekonomi serta kemakmuran bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dengan kerjasama politik antara BN dan PN yang dikatakan semakin menjadi kenyataan, rakyat mahu tahu siapa calon PM yang bakal diketengahkan oleh gabungan baharu itu sekiranya mereka menang PRU16.

Ujar Shahbudin, jika selepas PRU-16, Anwar masih mempunyai mandat rakyat serta sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat maka beliau wajar diberikan peluang untuk meneruskan kepimpinannya kerana ia bukan soal terlalu taksub kepada seseorang pemimpin tetapi ia tentang kesinambungan pentadbiran.

Dalam pada itu, Fareen berkata, usaha pembaharuan struktur yang digerakkan oleh Anwar sentiasa berpaksikan agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Katanya, melalui dasar yang inklusif ini, rakyat ditawarkan sebuah pilihan yang bersandarkan hasil kerja dan kestabilan jangka panjang.

“Oleh yang demikian, berbekalkan kesedaran politik yang semakin matang, rakyat kini lebih cakna dan bijak dalam menilai antara hak dengan batil.

“Rakyat pastinya bakal membuat pilihan yang terbaik pada PRU-16 nanti demi menjamin kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here