KUALA LUMPUR – Wakil rakyat Pemuda UMNO yang mengutamakan kepentingan diri, malas bekerja atau sukar dihubungi berdepan kemungkinan tidak lagi dicalonkan pada pilihan raya akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap wakil rakyat yang gagal meletakkan kepentingan parti dan perjuangan bersama sebagai keutamaan.
“Saya nak tegur kepada wakil rakyat Pemuda, dan saya nak ingatkan kepada wakil rakyat Pemuda, tiada apa yang lebih penting daripada perjuangan Parti Keramat kita yang ada pada hari ini.
“Dan saya tegas, Tok Mat, jika ada mana-mana wakil rakyat daripada Pemuda kepentingannya lebih daripada kepentingan parti, maka saya tak teragak-agak untuk kita tak mencalonkan wakil rakyat ini pada pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ucapan Dasar Ketua Pergeraakn Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026), hari ini.
Menurut Dr Akmal, wakil rakyat Pemuda juga perlu menyedari bahawa kedudukan yang disandang bukan kerana kehebatan diri sendiri, sebaliknya hasil sokongan dan usaha rakan-rakan parti.
“Jika ada wakil rakyat kita yang tak bekerja, jika ada wakil rakyat kita yang malas, jika ada wakil rakyat kita yang susah nak angkat call, balas WhatsApp, tolong bagitahu kita, kita akan pastikan dia tidak tercalon lagi pada yang akan datang.
“Dan jika ada wakil rakyat yang takut, nak bercakap soal perjuangan parti, tolong bagitahu saya, saya pasti akan kerjakan wakil rakyat itu habis-habisan kalau dia takut,” katanya.
Akmal berkata, menjadi wakil rakyat bukan sekadar membawa kepentingan diri, sebaliknya perlu membawa hasrat dan perjuangan parti selain melaksanakan amanah kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan 11 wakil rakyat Pemuda yang ada ketika ini supaya tidak bersikap sombong atau melupakan rakan-rakan yang membantu mereka sehingga berjaya memegang jawatan berkenaan.
Akmal berkata, jumlah wakil rakyat Pemuda meningkat daripada hanya empat orang kepada 11 dalam tempoh tiga tahun, sekali gus membuktikan kemampuan sayap itu melahirkan barisan pemimpin untuk parti. -MalaysiaGazette
















