KUALA LUMPUR – DAP boleh terus menyokong Kerajaan Madani dari luar Kabinet bagi memastikan kestabilan politik serta memperjuangkan reformasi institusi antaranya mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Bendahari DAP Wilayah Persekutuan, Ben Fong Kok Seng berpendapat, meninggalkan Kabinet tidak semestinya bermakna DAP akan menjatuhkan kerajaan Madani.
Tegas beliau, kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima segala-galanya kerana pemimpin politik mesti menyedari bahawa terdapat batas tertentu yang tidak boleh dilanggar.
“Jika (Datuk Seri) Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal dengan keseriusan sabitan terhadapnya, keadaan itu pada asasnya akan berubah.
“Pada pandangan saya, dalam keadaan sedemikian, DAP tidak lagi wajar untuk kekal dalam Kabinet.
“Ini ialah garis merah yang tidak boleh kita lepasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil menegaskan ia merupakan pendapat peribadi beliau yang tidak mewakili jawatannya di dalam DAP Wilayah Persekutuan mahu pun parti di mana-mana peringkat.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/09/08/lembaga-pengampunan-bincang-tahanan-rumah-najib-jumaat-ini/
Menurut Ben, jika bekas Perdana Menteri itu dibebaskan, sukar bagi DAP untuk menyelaraskan keputusan tersebut dengan komitmen berpanjangan parti terhadap urus tadbir bersih, reformasi institusi dan kebertanggungjawaban.
“Persoalannya bukan mengenai kesahihan proses perlembagaan, yang mesti dihormati, tetapi sama ada kekal dalam Kabinet akan menjejaskan prinsip yang selama ini diperjuangkan parti secara konsisten.
“Justeru, saya mengulangi pendirian yang pernah dinyatakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang berkata beliau bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang sewajarnya,” katanya lagi.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, Lembaga Pengampunan yang dijangka bermesyuarat esok dipercayai menjadikan perbincangan mengenai permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sebagai salah satu agenda pentingnya.
Bagaimanapun sumber tidak mendedahkan lokasi dan masa mesyuarat tersebut akan berlangsung. Ini menyebabkan isu permohonan tahanan rumah oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu kembali menjadi perhatian. -MalaysiaGazette
















