KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki warganegara Malaysia bagi membantu perbicaraan kes di Mahkamah Kuala Lumpur.
Dua individu terbabit ialah Amir Shauki Ismail, 34, dan Mohd Hizuwan Azman, 36, yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
SPRM menerusi kenyataan berkata, usaha mengesan kedua-dua individu itu di alamat terakhir mereka gagal selepas mereka tidak dapat dihubungi.
Amir Shauki mempunyai alamat terakhir di B2-70, Skyblox, Jalan Santuari Utama, Kampung Baru Air Panas, Setapak manakala Mohd Hizuwan beralamat terakhir di B1-62, Skyblox, Jalan Santuari Utama, Kampung Baru Air Panas, Setapak.
Menurut SPRM, kedua-dua individu berkenaan gagal hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu bagi perbicaraan kes.
“Waran tangkap terhadap kedua-duanya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari yang sama, 26 Ogos 2026,” katanya.
SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua individu terbabit supaya menghubungi pihaknya bagi membantu siasatan dan proses perbicaraan kes berkenaan. – MalaysiaGazette
















