MELAKA – Golongan belia terutama kategori B40 merasa sangat bertuah apabila mampu memiliki kediaman idaman sendiri dengan harga yang dianggap terendah d negara ini.
Pada harga di bawah RM200,000 mereka mampu memiliki rumah ala kediaman mewah yang memiliki pelbagai fasiliti.
Berbanding di negeri jiran dan Kuala Lumpur, mereka mungkin perlu mengeluarkan belanja antara RM300,000 hingga RM400,000 untuk mendapatkan kediaman sedemikian.
Seorang pekerja kilang, Shahrizal Hamizi, 33, berdasarkan makluman daripada rakan-rakan yang bekerja di luar Melaka, dia mengakui harga rumah di negeri itu masih dalam kategori murah berbanding negeri lain.
Dia yang tinggal bersama isteri dan seorang anak berkata, mereka merasa selesa tinggal di pangsapurinya bernilai RM70,000 di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) di Bukit Katil, Melaka.
“Kemudahan yang ada di sini termasuklah kawasan riadah, dewan orang ramai, surau, kedai makan dan tempat letak kenderaan yang banyak,” katanya.
Seorang peniaga, Muhammad Azlan Shah Abdullah, 29, pula berkata, dia memilih kawasan Jasin untuk membeli rumah teres kos sederhana kerana harga yang murah iaitu kira-kira RM180,000 seunit.

Malah ujarnya, ada rumah yang dijual di kawasan itu lebih murah iaitu RM12O,000 seunit.
“Itu sebabnya ramai orang luar Melaka turut berminat untuk membeli rumah teres di sekitar Jasin ini,” jelasnya.
Perkara itu turut disokong oleh seorang pekerja swasta, Noraziah Hussain, 43, yang telah membeli sebuah rumah teres di kawasan Jasin sejak empat tahun lalu dengan harga RM180,000.

Bagaimanapun dia meminta kerajaan negeri mencari mekanisme terbaik bagi membantu golongan yang bekerja sendiri untuk memohon pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.
“Saya mempunyai ramai rakan yang bekerja sendiri berhadapan dengan masalah pinjaman perumahan di bank ekoran ketiadaan slip gaji.
“Saya berharap kerajaan negeri dan institusi kewangan memberi beberapa kelonggaran kepada golongan sedemikian agar mereka juga mampu memiliki rumah idaman mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazzette
ARTIKEL BERKAITAN:
















