Muhammad Azri dihadapan ke Mahkamah Sesyan Johor Bahru hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik bekas pramugari

JOHOR BAHRU – Seorang pempengaruh kecergasan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyan di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik bekas pramugari RM31,900 tahun lalu.

Muhammad Azri Abdul Rahim, 31, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ronie Entili.

Mengikut pertuduhan, lelaki anak satu itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM31,900 milik seorang wanita yang juga bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Nusaria, Taman Nusantara, Gelang Patah, Iskandar Puteri antara 25 Januari 2025 hingga 7 Mac 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh namun peguam mewakili tertuduh, Atuffah Said memohon agar mahkamah memberikan jaminan yang munasabah ke atas anak guamnya.

“Ini merupakan kesalahan pertama dilakukan anak guam saya, saya memohon agar mahkamah membenarkan satu jaminan yang munasabah atas faktor berikut.

“Anak guam saya merupakan seorang yang bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan selain menanggung seorang isteri, mentua dan seorang anak,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here