Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Menteri Malaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh beramah mesra bersama kakitangan MalaysiaGazette ketika melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR –  Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bakal menjadi titik tolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali dominan dalam politik tanah air, kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu berkata, hala tuju yang dibentangkan Presiden UMNO menerusi ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 memberi gambaran jelas mengenai usaha memperkukuh parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ucapan dasar presiden, hala tuju yang kita nampak boleh membina kekuatan parti ini bukan sahaja menghadapi PRN Melaka, sebaliknya PRU secara umum.

“Kita sedia menghadapi PRU ke-16. Ini juga titik tolak UMNO menjadi dominan dalam politik tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini petang ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Menteri Malaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada wartawan ketika melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ketua Menteri Melaka itu menegaskan, UMNO dan BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri lalu.

“Kita yang memenangi 21 kerusi itu, kita tak boleh berkompromi untuk 21 kerusi ini dikongsi dengan orang lain. Kita pertahankan tempat kita.

“Sebab yang tujuh itu, parti-parti yang menang, dia pertahankan kerusinya. Kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Ab Rauf berkata, sebarang rundingan dengan parti politik lain berhubung kerjasama menghadapi PRN Melaka hanya akan dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri Melaka, beliau memberi bayangan ia semakin hampir namun belum mendedahkan waktunya.

“PRN Melaka? Tidak lama sahaja lagi. Saya akan umum. Waktu tidak panjang, tidak pendek juga. Gerak kerja sudah mula sejak dua tahun lepas,” ujarnya.

Beliau berkata, persiapan UMNO Melaka bukan sahaja tertumpu kepada PRN Melaka malah turut mengambil kira persediaan menghadapi PRU-16.

Mengenai kemungkinan perubahan atau pertukaran kerusi antara parti, Ab Rauf berkata, perkara itu masih belum diputuskan dan memerlukan rundingan lanjut.

“Mana tahu? Macam mana awak boleh tahu? Saya pun tak tahu. Kita kena berunding lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here