JOHOR BAHRU – Tindakan sekatan terhadap Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew yang sebelum ini lantang bersuara menentang rasuah disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, tindakan sekat akaun bank peribadi Amir dan Dobby serta wujudnya arahan menyekat perjalanan mereka keluar negara adalah tidak adil dan memalukan.
“Mereka berjuang dan bersuara menentang korupsi, tapi akhirnya ditekan dengan akses akaun bank peribadi disekat serta wujudnya arahan menyekat perjalanan mereka.
“Semua ini berlaku tanpa apa-apa penjelasan dari pihak berkuasa. Sedangkan ada ahli politik yang wujudnya kes prima facie di mahkamah bebas berleluasa sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya, ada juga ahli politik yang sudah didakwa juga bebas untuk ke luar negara tanpa ada apa-apa halangan.
“Ini satu layanan dua darjat yang memalukan. Rakyat Malaysia marhaen yang berani bersuara menentang salah laku penguasa, ditekan dan ditakutkan dengan niat untuk pastikan mereka senyap dan tidak lagi berjuang.
“Jika Amir Hadi dan Dobby Chew diperlakukan begini, apa pula akan jadi dengan rakyat Malaysia yang lain,” soalnya.
Jelasnya, apa yang dialami mereka bukan kes terpencil kerana ramai lagi rakan-rakan aktivis seperti Faisal, Asraf Sharafi, Anas Nor’azim dan Alyaah Hani juga ditekan dan disekat perjalanan mereka.
“Adakah kami semua akan disekat daripada menggunakan akaun bank dan disekat dari keluar negara tanpa apa-apa sebab.
“Kami akan tetap berjuang menentang korupsi dan salah laku penguasa, tak kira apa cabaran yang dihadapi. Makin ditekan, makin melawan,” katanya.
Hari ini, Amir mengesahkan akaun bank peribadi miliknya disekat dan tindakan itu didakwa berlaku selepas seminggu beliau dikenakan sekatan untuk keluar negara.
Menurutnya, perkara itu berlaku selepas Dobby berdepan masalah ketika pulang dari Jakarta apabila dimaklumkan terdapat sekatan dari Bukit Aman sebelum akhirnya dibenarkan memasuki negara ini.
“Hari ini, akaun bank peribadi milik saya dan Dobby telah disekat. Akaun bank Mandiri dan Hayat, NGO yang dikelola oleh Dobby juga turut sama disekat,” ujarnya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
















